nuffnang Ads

.

2017/06/02

UMNO-BN Persoal Bagaimana Pakatan Harapan Mampu Mencari Tambahan Hasil Jika GST Di Mansuhkan - Ini Jawapannya

GST & GOOD GOVERNANCE

UMNO-BN mempersoalkan bagaimana Pakatan Harapan mampu mencari tambahan hasil dari cukai GST sebanyak RM42bilion sekiranya cukai yang menzalimi rakyat itu dihapuskan.

Berikut adalah beberapa langkah mampu diambil kerajaan Pakatan Harapan yang semestinya memberikan manfaat kepada rakyat dan mampu menjana hasil tambahan tanpa sebarang cukai GST!;

1) Mengawal perbelanjaan negara bagi mengelakkan berlakunya defisit.

Kerajaan Najib Razak hari ini telah memperlihatkan hutang sepanjang tempoh pemerintahan beliau telah mencecah RM900bilion kesan pembaziran serta amalan rasuah. Defisit berlaku apabila kerajaan berbelanja melebihi pendapatan sehingga wujud hutang-hutang yang besar yang terpaksa ditanggung rakyat.

Laporan Ketua Audit Negara, mencatatkan bagi tahun 2014 sebanyak 15.5% anggaran pembaziran purata oleh kerajaan dari perbelanjaan kerajaan yang tidak melibatkan gaji atau kenaan tetap dan seumpanya. Jumlah 15.5% ini apabila dipadankan dengan anggaran perbelanjaan Kerajaan Persekutuan bagi 2017 yang dianggarkan pada RM136bilion, ianya memperlihatkan potensi untuk penjimatan hasil negara sebanyak RM21bilion.

2) Mengawal kemasukan warga asing.

Menurut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), dalam laporan BERNAMA bertarikh 29 Jun 2015, jumlah warga asing di Malaysia sudah mencecah 7 juta orang dengan hanya 2.1 juta sahaja yang berdaftar secara sah. Data dari Jabatan Perangkaan Malaysia pula menunjukkan jumlah warga asing yang mendaftar secara sah telah menyaksikan peningkatan pada tahun 2016 pada jumlah  3,265,100 orang pendatang berdaftar secara sah.

Kerugian hasil negara dicatatkan apabila aliran wang keluar atau dihantar balik oleh pekerja asing ke negara asal mereka meningkat sebanyak 23.2 peratus kepada RM34.75 bilion setakat akhir 2015. Jumlah ini dijangka meningkat pada 2016 berskala dengan penambahan kemasukan warga asing. Sekiranya penguatkuasaan sempadan serta pegawalan kemasukan warga asing secara sah dilakukan bagi menempati sektor-sektor tertentu, dijangka sebanyak RM22bilion dapat dielakkan dari keluar dan mampu dijana dari dalam negara kita sendiri.

3) Memperbaiki keyakinan pelabur melalui pengurusan kewangan serta pentadbiran yang cekap dan bebas rasuah.

Kaedah penjimatan perbelanjaan lain yang boleh dicapai mudah adalah melalui pembayaran kembali faedah hutang-hutang yang dipinjam kerajaan persekutuan. Dalam keadaan sekarang, kerajaan terpaksa membayar kadar faedah yang tinggi atas hutang yang dipinjam kerana keyakinan pelabur yang rendah atas kerajaan yang tidak dihormati.

Apabila pelabur tiada keyakinan, pelabur tidak sanggup medapat bayaran bunga yang rendah demi memegang kertas hutang negara dalam tempoh sebelum ianya ditebus oleh kerajaan apabila sampai tempoh matang, maka kadar faedahnya akan diniagakan tinggi. Ini memberi kesan kerana bayaran faedah ini ditanggung tak lain tak bukan oleh rakyat.

Belanja membayar faedah hutang bagi tahun 2017 dianggarkan sebanyak RM29bilion dan jumlah itu adalah melebihi separuh dari hasil kutipan GST yang ahirnya terpaksa digunakan untuk membayar faedah sedangkan jumlah ini dapat dikurangkan sekiranya pelabur yakin dengan pentadbiran negara. Malah berkemungkinan kadar faedah itu mampu turun hingga ke 1% berbanding kadar sedia ada dan mampu mencapai penjimatan sebanyak RM6.5bilion.

Mengambil beberapa metod yang mampu direalisasikan di atas dalam kadar segera apabila mengambil-alih tampuk pemerintahan Malaysia, kira-kira RM49.5 bilion sekurang-kurangnya mampu dijana setiap tahun tanpa sedikitpun perolehan dari GST!

Ini belum lagi masuk pendapatan lebih kurang RM20 bilion yang akan dikumpul melalui SST yang digantikan dengan GST.

Ini belum termasuk melawan pemberian tender secara tertutup atau penawaran tender terbuka seperti yang diamalkan kerajaan Selangor sehingga menyaksikan Selangor sebagai contoh mampu mencapai surplus dan menyaksikan perolehan rizab sehingga RM4bilion!

Jika amalan berintegriti ini dilakukan di peringkat kerajaan persekutuan, nescaya tambahan berbilion ringgit mampu dielakkan dari lesap kesan ketirisan dan amalan rasuah seperti yang diamalkan kerajaan UMNO-BN dan segala hasil serta penjimatan mampu dipulangkan kepada rakyat.

Sebagai contoh di Selangor dalam pada masa yang memperlihatkan ekonomi dipacu baik, kerajaan Selangor jelas membantu dengan program bantuan rakyat seperti memberikan program kesihatan percuma, pendidikan percuma, air percuma, bas percuma, Rumah Selangorku dan pelbagai jenis bantuan dari awal kelahiran hingga akhir hayat bagi anak-anak Selangor.

Di peringkat negara, pendidkan percuma hanya menelan kos operasi purata RM5bilion untuk 20 buah IPTA, dan itulah antara salah satu agenda Pakatan Harapan dalam mampu membantu rakyat melalui pendidikan percuma, tidak lupa seperti sidang media Pemuda Pakatan Harapan tempohari kami telah memberikan keyakinan untuk mewujudkan sekurangnya 1 JUTA  peluang pekerjaan baharu dalam tempoh 5 tahun pentadbiran dan jangan lupa usul utama penulisan saya ini semestinya melalui Pakatan Harapan, GST AKAN DIHAPUSKAN!

Syed Saddiq
Ketua ARMADA PPBM