nuffnang Ads

.

2017/06/23

PERUTUSAN HARI RAYA PPBM P149 SRI GADING - 1438 Hijrah - 2017 Masihi

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar
Walillahilhamd

Bersempena Aidilfitri ini, saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin, kepada seluruh umat Islam khususnya.

Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Illahi kerana telah berkesempatan melaksanakan ibadah puasa sepenuhnya.

Saya berdoa semoga segala amal ibadat kita di sepanjang bulan Ramadhan ini diterima oleh Allah s.w.t.

Saya juga berdoa semoga kita diberi kesempatan melaksanakan tanggungjawab ini di tahun-tahun akan datang.

Sesungguhnya, walaupun di dalam suasana ekonomi dan politik yang begitu mencabar, kita harus bersyukur kita masih mampu merayakan Aidilfitri walau dengan begitu ringkas sekali pun namun kita dapat meraikannya bersama keluarga tercinta, sanak saudara dan rakan taulan.

Semestinya, semangat kekeluargaan dan setiakawan serta menjalinkan silaturrahim merupakan salah satu tunggak agama Islam dalam mendokong keamanan dan kesejahteraan ummah secara khususnya dan masyarakat sejagat secara amnya.

Islam sememangnya agama yang mementingkan semangat kemasyarakatan walau berbeza agama dan bangsa.

Islam tidak pernah menyarankan perpecahan dan kesangsian dipupuk di kalangan masyarakat hanya disebabkan perbezaaan pandangan, agama dan bangsa.

Namun begitu, kita lihat sejak kebelakangan ini terlalu banyak insiden yang semakin memecahbelahkan masyarakat agar lebih rasis dan lebih berprasangka.  Lebih-lebih lagi insiden yang mana perlakuan kononnya di atas nama Islam.

Kita harus sentiasa ingat bahawa Islam itu agama persaudaraan.

Oleh itu, kita seharusnya mengekang apa-apa perasaan amarah yang membawa kepada perpecahan.

Semoga ibadah di bulan Ramadhan ini telah menyedarkan kita semua bahawa keamanan itu fitrah manusia dan akan betapa pentingnya masyarakat bersatu padu, terutama di dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Hanya dengan perpaduan dan keamanan dapat kita sama-sama membina negara tercinta ini.

Hanya dengan perpaduan dan keamanan, dapat kita teguh bersatu agar dapat menangkis anasir-anasir yang bertopengkan patriot Malaysia tetapi menghancurkan negara secara halus.

Saya yakin keimanan yang kita pupuk di dalam jiwa kita sepanjang Ramadhan ini, akan terus berputik dan menyedarkan kita semua agar bersungguh menegakkan kebenaran dan keamanan, dan memperkukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat sejagat.

Oleh itu, sempena bulan mulia Ramadhan dan Aidilfitri ini, marilah kita saling bermaaf-maafan dan jalinkan kembali tali silaturrahim antara kita.

Bagi mereka yang beraya di kampung halaman masing-masing, hati-hati memandu dan patuhilah undang-undang jalanraya. Ingatlah nyawa dan keselamatan anda dan keluarga anda amat berharga.

Sekali lagi, saya dan keluarga saya ingin mengucapkan kepada seluruh umat Islam, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Dengan Ingatan Tulus Ikhlas Daripada

Ahli Jawatankuasa
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
P149 Sri Gading

29 Ramadan 1438
24 Jun 2017