nuffnang Ads

.

2017/06/28

PERDANA MENTERI PERLU MEMBENTANGKAN KERTAS PUTIH ISU 1MDB DI DEWAN RAKYAT..

KENYATAAN MEDIA

Dakwaan terbaru yang terkandung di dalam pemfailan ketiga Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat membuka lembaran baru kemelut yang melanda negara akibat daripada skandal penyelewengan dana 1MDB.

Kami, selaku pimpinan dan Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang Malaysia menuntut Perdana Menteri dan pihak kerajaan bercakap benar dan hadir ke Parlimen menjawab semua dakwaan mengenai isu ini.

Maka, kami mengulang kembali gesaan Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bahawa Perdana Menteri harus memanggil sidang tergempar Dewan Rakyat sesegera yang mungkin sepertimana yang terkandung di dalam peraturan 11(3), peraturan-peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Kami juga mendesak Perdana Menteri membentangkan sebuah kertas putih mengenai dakwaan skandal penyelewengan dan 1MDB pada sidang tergempar parlimen, demi menjelaskan fakta-fakta daripada kerajaan. Fakta-fakta ini harus menjawab segala kemusykilan rakyat yang ditimbulkan.

Kenyataan sesetengah menteri bahawa segala dakwaan adalah bermotif politik atau campur tangan asing tidak mencukupi untuk menangkis segala persoalan yang ditimbulkan. Jika kerajaan tidak mahu rakyat terbawa-bawa oleh dakwaan DoJ, maka kerajaan harus menjawab segala dakwaan tersebut dengan membentangkan laporan siasatan daripada institusi-institusi siasatan negara melalui Kertas Putih di parlimen.

Kami menggesa agensi-agensi berwajib seperti Jabatan Peguam Negara, SPRM, BNM dan PDRM untuk membuka kembali kertas siasatan. Nama baik negara dimalukan apabila sekurang-kurangnya 9 negara menjalankan siasatan terhadap skandal ini. Namun kertas siasatan ditutup oleh semua agensi berwajib Malaysia.

Justeru itu, kami akan mengambil langkah-langkah berikut:

1.     Mendesak Perdana Menteri mengadakan sidang tergempar Dewan Rakyat sesegera yang mungkin dan membentangkan Kertas Putih Berkenaan 1MDB.

2.     Membuat laporan bersama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

3.     Membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) serta menuntut supaya kertas siasatan dibuka semula.

4.     Jelajah ke seluruh negara penerangan terkini isu skandal penyelewengan dana 1MDB. Jelajah pertama akan diadakan pada 6 Julai 2017 di Dewan JKKK Penaga, Kepala Batas bermula jam 9 malam. Jelajah ini akan dijalankan ke seluruh negara dan berakhir dengan sebuah perhimpunan rakyat pada bulan September.

5.     Mewujudkan sebuah Jawatan Kuasa Tindakan 1MDB (1MDB Action Committee) yang akan merangka strategi dan respon pembangkang terhadap isu 1MDB ini.

Kami juga menyeru kesemua parti-parti pembangkang untuk mengenepikan segala perbezaan dan berkerjasama serta bersatu tenaga untuk membawa mereka yang terlibat di dalam skandal penyelewengan dana 1MDB ke muka pengadilan.

Menurut dokumen mahkamah, jumlah dana 1MDB yang didakwa diselewengkan telah mencecah hampir USD 4.47 bilion (RM19.15 bilion). Maka Perdana Menteri, kerajaan persekutuan dan agensi-agensi berwajib tidak boleh lagi berdiam diri mengenai isu ini. Tumpuan harus diberikan untuk membersihkan nama negara dan menyelesaikan kemelut yang melanda yang diakibatkan oleh skandal penyelewengan 1MDB.

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Pembangkang (KEADILAN)

YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh (DAP)

YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam (AMANAH)

YB Dr Michael Jeyakumar, Ahli Parlimen Sg Siput (PSM)

YB Darell Leiking, Ahli Parlimen Penampang (WARISAN)

Dato’ Dr Rais Hussin, wakil PPBM

28 Jun 2017

#PPBM
#BERSATU
#BERAMANAH
#BERMARUAH