Dr Radzi Jidin, Pensyarah Pengauditan dan Perakaunan Forensik [Untuk FB Page Bicara Malaysia]
Nota: Kongsikanlah apa yang ditulis dengan rakan-rakan. Janganlah mudah menerima hujah bahawa ianya campurtangan asing tanpa memahami konteks tindakan Amerika tersebut. Disiarkan kali pertama pada 23 Julai 2016 dan diedit untuk siaran 26 Jun 2017.
1. Secara peribadi, saya amat tidak bersetuju dengan dasar campurtangan Amerika Syarikat di negara-negara lain di dunia ini. Ianya sekadar menyerlahkan sikap mereka yang cuba menjadi Sherif dunia.
2. Apatah lagi sebarang campurtangan di tanahair tercinta, Malaysia.
3. Selepas Jabatan Keadilan Amerika mengeluarkan tuntutan terhadap aset-aset yang dibeli menggunakan wang 1MDB, jentera propaganda BN memainkan sentimen bahawa tindakan tersebut adalah satu campurtangan Amerika dalam urusan Malaysia. Selepas setahun berlalu, propaganda ini terus dimainkan sehingga ke hari ini, terutamanya di musim perayaan ini.
4. Penggunaan propaganda seperti ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana pihak yang menyebarkan propaganda sedar bahawa isu 1MDB adalah satu isu yang kompleks dan sukar difahami.
5. Oleh itu, penggunaan propaganda bahawa ianya adalah satu campurtangan Amerika Syarikat adalah satu strategi mudah bagi mengalihkan perhatian rakyat kepada isu sebenar.
6. Tindakan Jabatan Keadilan Amerika tersebut bukanlah satu campurtangan dalam urusan Malaysia. Sebaliknya ianya adalah usaha untuk mempertahankan tadbir urus sistem kewangan mereka.
7. Dari tuntutan Jabatan Keadilan Amerika tersebut jelas bahawa wang yang disalur keluar dari 1MDB telah melalui sistem kewangan Amerika Syarikat. Wang ini digunakan untuk membeli pelbagai jenis aset termasuklah hartanah dan kapal terbang peribadi.
8. Perlu diingat, wang tersebut bukannya dibawa menggunakan kapal, lori atau kapal selam. Sebaliknya ia telah disalurkan melalui sistem perbankan dan kewangan Amerika.
9. Transaksi melalui sistem perbankan adalah transaksi yang paling mudah dikesan. Ianya akan meninggalkan jejak audit yang boleh diikuti dari mula wang tersebut melalui sistem perbankan sehingga ianya digunakan.
10. Dalam kes aset-aset yang disebut oleh Jabatan Keadilan Amerika, tentunya pembelian aset-aset ini tidak dibuat dengan menggunakan wang tunai yang dibawa dengan lori atau kapal. Sebaliknya ianya menggunakan pemindahan elektronik atau menggunakan instrumen kewangan seperti cek atau kad kredit.
11. Penggunaan sistem perbankan dalam setiap urusniaga memudahkan penyiasatan oleh pelbagai pihak, termasuklah agensi-agensi kerajaan Amerika. Mereka tidak perlu merujuk kepada 1MDB untuk mengetahui pergerakan wang di dalam sistem kewangan Amerika. Ini kerana, apabila wang tersebut disalur keluar dari akaun 1MDB kepada pihak lain (yang bukan entiti 1MDB), maka pergerakan wang tersebut boleh dijejaki dengan mudah walaupun tanpa bantuan 1MDB.
12. Sejarah telah membuktikan bahawa Amerika Syarikat sentiasa berusaha keras untuk mempertahankan ketelusan dan tadbir urus sistem kewangan dan korporat mereka.
13. Dalam salah satu kes penyelewengan korporat terbesar di Amerika iaitu skandal Enron yang terdedah pada tahun 2001, CEOnya Jeffry Skilling telah didapati bersalah dan dipenjarakan selama 24 tahun (sebelum dikurangkan kepada 14 tahun).
14. Selepas skandal Enron, kerajaan Amerika Syarikat telah melakukan perubahan besar-besaran kepada sistem kewangan dan korporat mereka.
15. Satu undang-undang baru, Sarbanes-Oxley Act diperkenalkan pada tahun 2002. Akta ini adalah antara perubahan terbesar yang pernah dibuat kepada sistem tadbir urus korporat dan kewangan Amerika Syarikat.
16. Pada tahun 2008 pula, bekas Pengerusi Bukan Eksekutif NASDAQ yang juga pengasas Madoff Investment Securities telah ditangkap kerana didapati bersalah menganjurkan skim cepat kaya terbesar di Amerika. Beliau telah dihukum penjara untuk 150 tahun! Perlu diketahui bahawa Madoff juga seorang Yahudi.
17. Selepas krisis kewangan Amerika yang bermula pada tahun 2008, kerajaan Amerika memperkenalkan Dodd Frank Act pada 2010. Ianya merupakan perubahan paling besar kepada undang-undang dalam sistem kewangan Amerika sejak Great Depression.
18. Contoh-contoh di atas menunjukkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat amat mengambil berat akan ketelusan dan tadbir urus sistem kewangan mereka.
19. Jadi, apabila wang milik 1MDB di salurkan melalui sistem kewangan mereka dan digunakan untuk membeli pelbagai aset peribadi pihak tertentu, maka tentunya pihak berkuasa Amerika akan mengambil tindakan terhadap “kleptocracy” ini.
20. Oleh itu, hujah bahawa tindakan Amerika berkaitan dengan 1MDB adalah satu campurtangan asing dalam ehwal dalaman Malaysia adalah satu hujah yang sempit.
21. Samalah juga tindakan kita mengambil tindakan terhadap rakyat asing yang terlibat dengan jenayah di Malaysia. Ianya tidak bermakna kita campurtangan dalam urusan dalaman negara asal penjenayah tersebut. Kita bertindak kerana mempertahankan keamanan dan ketenteraman negara.
22. Jika kita masih ingat, pada tahun 1986 dua orang rakyat Australia telah dihukum di Malaysia kerana mengedar dadah. Hukuman gantung ke atas Barlow dan Chambers telah menimbulkan ketegangan dalam hubungan diplomatik Malaysia – Australia. Perdana Menteri Australia ketika itu, Bob Hawke membuat kenyataan bahawa hukuman gantung tersebut adalah bersifat “barbarik”. Dr Mahathir, Perdana Menteri Malaysia ketika itu membidas kenyataan Hawke dan menyifatkan hukuman gantung telah lama dahulu dilaksanakan di negara barat. Pemimpin-pemimpin Malaysia ketika itu mempertahankan bahawa adalah hak Malaysia untuk melaksanakan undang-undang di negara sendiri.
23. Oleh itu, tindakan Amerika mempertahankan undang-undang berkaitan sistem kewangan mereka adalah hak negara itu.
24. Jadi, fikirkanlah. Apakah tindakan Amerika tersebut adalah satu campurtangan asing atau satu tindakan yang diambil kerana kebodohan penyagak yang menggunakan sistem kewangan Amerika dengan harapan tiada pihak yang akan dapat mengesannya!!!!!