nuffnang Ads

.

2017/06/09

SEJARAH JALAN MAAROF BANGSAR - Sejarah Yang Patut Melayu Tahu..


..

Siapakah Maarof sebenarnya hinggakan namanya cukup gah untuk diabadikan di antara laluan utama yang menjadi laluan beribu pengguna setiap hari. Allahyarham sebenarnya ada kisah tersendiri yang jarang diperkatakan.

Maarof anak kelahiran Sri Menanti, Negeri Sembilan adalah antara kelompok Melayu elit yang mendapat pendidikan Inggeris yang hidup sezaman dengan tokoh pemikir Melayu, Zainal Abidin Ahmad yang digelar Pendeta Zaaba (16 September 1895 - 23 Oktober 1973).

Bekas peguam dan pegawai daerah di Perak itu juga seangkatan dengan nasionalis negara yang juga penulis, Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako (14 November 1909 - 7 November 1991). Bezanya, ketika nasionalis negara dan pemimpin politik sibuk berjuang untuk kemerdekaan, Maarof memilih haluan berbeza dengan mengasaskan bank pertama khas untuk orang Melayu iaitu Bank Kebangsaan Melayu, bertempat di Klang Street, di ibu negara.

Niatnya cukup jelas, jika orang Melayu mahu maju dalam politik dan membangun, mereka mesti mempunyai sistem ekonomi yang kuat, satu daripadanya ia melalui sistem perbankan yang sistematik.

Pada bulan Julai, 1947 sebuah Bank Kebangsaan Melayu telah diasaskan oleh Maarof Zakaria yang juga seorang peguam.

Inilah bank pertama yang khusus untuk orang Melayu. Bank ini terletak di Klang Street, Kuala Lumpur. Bank ini ditubuh dengan bermodalkan 27 ekar tanah dan mempunyai 2 juta saham yang hanya dibuka kepada orang Melayu.

Semasa penubuhannya, bank asing yang beroperasi adalah The Chartered Bank (milik British) dan Overseas Chinese Banking Corporation (OCBC). Kedua-dua bank ini tidak memberikan perkhidmatan pinjaman wang kepada orang Melayu. Dengan itu, orang Melayu terpaksa berurusan dengan ceti-ceti untuk mendapatkan pinjaman wang dan dikenakan kadar faedah yang tinggi. Selepas 6 bulan beroperasi dengan jayanya, Maarof telah diculik pada 4 Disember 1947 ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur menuju ke rumah ibunya di Seremban, Negeri Sembilan.

Selepas tiga hari diculik, mayatnya ditemui dalam keadaan cukup menyayat hati, digantung pada sebatang pokok dalam hutan, berhampiran Batu 13, Jalan Kuala Lumpur-Bentong, Pahang pada Sabtu, 7 Disember 1947.

Jam Rolex yang baru dibelinya serta wang tunai tidak diusik, ini menunjuk pembunuh hanya berniat untuk melenyapkan mangsa dan bukan menjadikan mangsa sebagai tebusan atau mangsa rompakan

Untuk pengetahuan pembaca , En. Maarof Hj. Zakaria ini adalah bapa kepada seniman veteran Allahyarham Mustapha Maarof, ketika kejadian ini Allahyarham masih menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kematian pengasas Malay National Bank, Maarof Zakaria, sebagai tragik dan sangat menyedihkan kerana ia berlaku ketika peguam itu berusaha membantu orang Melayu keluar daripada kepompong kemiskinan menerusi penubuhan bank.

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, “Jasa Maarof sangat besar dan beliau orang Melayu yang berani menubuhkan bank untuk membantu kaumnya, ketika itu. Ketika itu, orang Melayu jauh ketinggalan dari segi ekonomi dan hidup dalam kemiskinan. Bank yang ada ketika itu tidak mahu memberi bantuan atau pinjaman modal kepada orang Melayu. Justeru, ada suara yang meminta dan mendesak supaya sesuatu dilakukan untuk membantu orang Melayu”.

Pemikiran dan tindakan Maarof yang begitu futuristik itu telah mencemaskan The Chartered Bank milik penjajah Inggeris dan Overseas Chinese Banking Corporation (OCBC).

Pihak tertentu (masih belum dikenal pasti menerusi proses siasatan) telah merancang untuk menculik dan seterusnya membunuh Maarof supaya kemaraan ekonomi orang Melayu dapat disekat serta-merta.

Akhirnya, pada 4 Disember 1947, rancangan jahat tersebut berjalan dengan licik, lalu tiga hari selepas itu Maarof ditemui tidak bernyawa tergantung pada sebatang pokok di dalam hutan, Batu 13, Jalan Kuala Lumpur – Bentong.

Maarof dipercayai sedang menuju ke rumah ibunya di Seremban dengan memandu kereta bersendirian dari rumah beliau di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Beliau menemui ajal dalam usia yang masih muda, iaitu 43 tahun. Sehingga kini, dalang kes bunuh Maarof, motif dan sosok pembunuh upahan tidak pernah dapat dirungkaikan.

Sehingga ke hari ini kes ini masih menjadi misteri.. Berlandaskan tiupan roh semangat perjuangan Melayu di bidang ekonomi inilah maka dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama dalam tahun 1965 cadangan menubuhkan Bank Bumiputra Malaysia Berhad(BBMB) telah diketengahkan.