nuffnang Ads

.

2017/06/14

PENJELASAN PELAN PEMANSUHAN GST

Dato' Seri Najib Razak seringkali dilihat memomok janji Pakatan Harapan untuk memansuhkan GST di dalam media arus perdana baru-baru ini dengan alasan tanpa GST perbendaharaan negara akan hilang RM42 bilion setahun. Tanggapan ini amat berbeza dengan realiti kerana negara ini tidak perlukan GST jika tabiat belanja dan ketirisan kerajaan Barisan Nasional dapat dikawal.

Secara ringkas, pelan untuk pemansuhan GST telah mengambil kira pungutan GST yang sebanyak RM42 Billion seperti diumumkan Perdana Menteri. Kutipan tersebut akan dapat diganti oleh kerajaan Pakatan Harapan dengan membanteras gejala rasuah, mengurangkan ketirisan, melaksanakan pentadbiran kewangan yang telus justeru mengurangkan bayaran faedah hutang tahunan negara, dan melaksanakan rasionalisasi cukai melalui pengenalan cukai ke atas keuntungan jual beli saham dan cukai jualan dan perkhidmatan.

Perkara ini saya telah ulas dengan mendalam dan disokong dengan angka-angka di dalam buku “Panduan Bina Semula Negara” yang saya tulis dan lancarkan baru-baru ini. Tetapi malangnya masih terdapat sebilangan rakyat di luar sana yang telah termakan ejekan-ejekan Dato' Seri Najib Razak dan mempercayai tanggapan beliau bahawa pemansuhan GST adalah mustahil dan langsung tidak masuk akal.

Di dalam masa terdekat INVOKE Malaysia akan mengerah ribuan sukarelawan-sukarelawan berdaftar ke seluruh negara terutamanya kawasan pendalaman dan luar bandar untuk mengedar risalah-risalah yang akan mengandungi rangka kerja lengkap pelan pemansuhan GST yang dicadangkan pemimpin-pemimpin pembangkang.

Saya yakin dengan inisiatif ini, INVOKE Malaysia akan berjaya meyakinkan kebanyakan pengundi atas pagar bahawa pelan pihak pembangkang untuk memansuhkan GST bukan sahaja mampu untuk dilaksanakan, ianya akan berjaya untuk mengurangkan beban kos sara hidup mereka.

Sokongan rakyat Malaysia secara keseluruhannya amat diperlukan untuk memastikan inisiatif ini berjaya, kos untuk mencetak dan mengedar risalah-risalah ini bergantung sepenuhnya kepada sumbangan khalayak ramai yang prihatin dengan segala salah urus kerajaan sedia ada.

Sumbangan boleh dibuat melalui link: http://bit.ly/contributeinvoke atau terus kepada akaun bank INVOKE Malaysia (Maybank, 5622 0964 0698, INVOKE Solutions Sdn Bhd)

Saya mohon semua untuk sebarkan mesej ini kepada seramai mungkin, saya yakin perubahan boleh berlaku dengan setiap usaha daripada kita.

Rafizi Ramli
INVOKE Volunteer #00001