1. Dalam saman sivil pelucuthakan terbaru, DOJ berkata sekurang-kurangnya AS$27.3 juta digunakan untuk membeli loket dan rantai berlian 22 karat berwarna merah jambu untuk isteri MO1.
2. Ia juga mendakwa “derma” yang dipulangkan itu digunakan oleh hartawan kelahiran Pulau Pinang Jho Low untuk membeli gambar bernilai AS$750,000 sebagai hadiah kepada pelakon Hollywood Leonardo DiCaprio.
3. Menurut DOJ, pada Jun 2013, dua bulan sebelum wang itu dipulangkan, Low dikatakan menghubungi tukang emas permata Lorraine Schwartz berkaitan “rantai berlian merah jambu permata bentuk hati 18 carrot (sic)”.
4. Bulan berikutnya, Schwartz dikatakan pergi ke Monaco dengan permata merah jambu 22 karat untuk bertemu Low dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Aabar Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny di atas sebuah kapal layar. Isteri MO1 dan kawannya – dirujuk DOJ sebagai "Malaysian Friend" turut berada di situ.
5. Schwartz kemudian dikatakan bertemu isteri MO1 di New York pada 28 September bagi menunjukkan rekaan rantai itu. Najib dan Rosmah berada di New York ketika persidangan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Najib berucap pada 28 September.
6. Selain rantai merah jambu AS$27.3 juta, DOJ juga menuduh Low membeli 27 bentuk rantai dan gelas 18 karat untuk isteri MO1 yang keseluruhannya bernilai AS$1.3 juta.
7. Pembelian lain dikatakan diguna untuk membeli gambar Diane Arbus bertajuk “Boy with the Toy Hand Grenade" bernilai AS750,000 yang didakwa disalurkan daripada akaun Tanore kepada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.
8. Pada 9 September 2013, US$58.85 juta daripada akaun Tanore didakwa disalurkan ke akaun lain – Midhurst Trading Limited – yang berdasarkan fakta perbicaraan di mahkamah Singapura Low membukanya menggunakan nama Eric Tan.
9. Keesokan harinya, wang AS$32.76 juta itu didakwa dipindahkan ke akaun bank DBS Singapura atas nama Blackrock. Daripada situ, dua pindahan kawat (wire transfer) dibuat kepada Schwartz di akaun Bank of America berjumlah AS$27.3 juta.