nuffnang Ads

.

2017/06/29

PEMIMPIN ZALIM, SALAH SIAPA...?

Oleh. ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR

1. Sejarah menyaksikan, jatuh bangun Daulah Islamiyyah atau Kerajaan Islam sejak dari Bani Umayyah, Abasiyyah dan Uthmaniah dipenuhi liku-liku lumrah kepimpinan dengan ada terdiri dalam kalangan pemimpin 'HOLISTIK' yang adil dan pengasih pada yang dipimpinnya seperti Khalifah Umar Abdul Aziz, Khalifah Harun Al-Rashid dan Sultan Muhammad Al-Fateh dan ada pula yang disebaliknya sehingga menyaksikan kejatuhan setiap empayar yang 'kononnya' berdiri atas nama Islam itu sendiri.

2. Sejarah Empayar Melayu juga menyaksikan hal yang sama kerana itu dikatakan 'lumrah'. Empayar Melayu Melaka sebagai contoh dari pasak penubuhannya melalui Islam-nya Melaka pada tahun 1414 setelah pernikahan Parameswara dengan anak Raja Daerah Perlak iaitu Puteri Ratna telah menampakkan peranan Raja-Rakyat yang ditunjangkan Iman, Islam dan Ihsan.

3. Sejak itu (Parameswara) telah menyaksikan jatuh bangun Melaka yang adil kepada 'marga'nya dengan menyaksikan lahir pemimpin hebat seperti Sultan Alauddin Riayat Shah dan Sultan Mansur Shah yang mempunyai nilai (diri-peribadi) yang baik bersulan keimanan dan ketaqwaan kepada ALLAH SWT membawa kepada terjemahan dari aspek pentadbiran kepada rakyat dan negara.

4. Sesungguhnya bak kata pujangga Melayu, ada nashkah klasik yang memetik bahawa kata-kata ini adalah kata-kata dari Laksamana Hang Jebat, “Raja (Pemimpin) Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah!” demikian juga sepertimana sabda Rasul SAW, “Makhluk yang paling dicintai Allah adalah imam (pemimpin) yang adil, sedangkan yang paling dimurkai adalah imam yang jahat.”

5. Aspek kepimpinan dalam membentuk masyarakat adalah penting, begitu juga peranan masyarakat dalam memilih kepimpinan bagi membentuk masyarakat itu kembali, kerana kelak yang akan dipimpin dan menerima kesan kepimpinan itu adalah rakyat itu sendiri, oleh itu peranan rakyat atau yang dipimpin itu besar impaknya. Firman Allah SWT ; “Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan.” (Al-An’am: 129)

6. Al-Alusi menjelaskan mengenai penafsiran ayat ini dengan ungkapan, “Apabila rakyat zalim, Allah akan meletakkan orang zalim pula berkuasa keatas mereka.” Hal yang sama juga disebutkan oleh Al-Qurtubi, “Bila Allah SWT redha kepada suatu kaum, Dia meletakkan urusan kaum itu kepada orang yang terbaik di antara mereka. Bila Allah murka kepada suatu kaum, Dia meletakkan urusan mereka kepada orang yang terburuk.”

7. Ibnu-Qayyim juga melihat hal yang sama dalam mentafsirkan ayat 129 dari surah Al-An'am. Beliau mengatakan, “Perhatikanlah hikmah-Nya tatkala Dia menjadikan para raja, penguasa dan pemegang tampuk pemerintahan sesuai dengan amalan yang dilakukan oleh para rakyat di dalam negeri tersebut. Bahkan, amalan para rakyat akan tercermin dari tingkah laku para penguasanya.”

8. Hari ini di Malaysia, dalam kita selaku rakyat terkesan dengan  kepimpinan yang begitu menindas, kita juga harus melihat dan menilai sejauh mana peranan kita selaku rakyat dan peranan sesama masyarakat sendiri dalam sama-sama membentuk sebuah negara yang didambakan dari perspektif hala tujunya termasuk bukan sahaja aspek pembangunan materi dari segi material atau kebendaan malah sudut pembangunan insani dan semestinya rohani sebagai tunjang.

9. Diriwayatkan dari Anas ra, dia berkata: Rasulullah Saw pernah bersabda, "Tolonglah saudaramu yang berbuat zalim atau dizalimi". Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, kami memang harus menolong orang yang dizalimi, tetapi bagaimana kami harus menolong orang yang berbuat zalim?" Rasulullah Saw bersabda: "Cegah dia dari perbuatan zalim."

10. Lantas jika dinilai dalam keadaan semasa negara, dengan bebanan yang sebegitu berat dikenakan ke atas rakyat dengan cukainya yang tidak adil, sedang hasil tidak tahu kemana tanpa makluman pengurusan wang iaitu audit yang tidak diwar-warkan atau kemungkinan langsung tiada audit (audit dirahsiakan, penipuan dsbnya) dalam urusan kos operasi dan belanja para pimpinan tinggi negara yang sebegitu boros dan rakus. Lihat kembali sejauh mana kesanggupan rakyat untuk benar-benar menentang kemungkaran yang ada!?

11. Rakyat khususnya dalam kalangan Melayu-Islam hari ini sanggup bergelumang dengan dosa pemerintah yang nyata apatah lagi dari para pendokong rasuah dalam kalangan penyokong Najib Razak di dalam UMNO!

12. Antara yang jelas apabila ketara berlaku pembaziran dari sudut perbelanjaan oleh kerajaan Malaysia di bawah Najib Razak hingga menyaksikan hutang negara kesan dari defisit atau lebihan belanja telahpun memperlihatkan peningkatan drastik mencecah RM900Bilion. Jumlah yang memberi kesan kepada rakyat sehingga terbeban dan memperlihatkan peningkatan kos sara hidup.

13. Dalam pada itu ditambah lagi dengan GST sebagai contoh, apabila dikenakan cukai yang merupakan hanya cukai tambahan. Sedang cukai pendapatan yang berperanan selaku percukaian utama kini telahpun mencecah 48% hasil pendapatan negara (tidak dicampur cukai-cukai lain cth: cukai pelancongan, import-eksport, keuntungan petroleum dll), keuntungan yang nyata tinggi dan cukup bagi menampung kos operasi negara. Namun hari ini rakyat masih lagi terbeban.

14. Bajet pendidikan, kesihatan dan makanan dikurangkan! Biasiswa RM700juta JPA ditarik, Felda mengalami kerugian dengan rizab RM4.5Bilion hanya tinggal kira-kira RM200juta sahaja, pendidikan tinggi masih berbayar, pengangguran semakin meningkat, negara masih bergantung kepada pekerjaan berpaksikan buruh tanpa prasarana untuk membantu graduan dalam menghasilkan peluang pekerjaan aras tinggi, harga barang semakin meningkat, gaji minima masih lagi rendah!

15.  Bayangkan ini semua berlaku dalam hakikat dikenakan GST sebagai cukai tambahan yang menurut laporan media telahpun mencapai untung bersih mencecah RM39Bilion jadi di mana hasil segala keuntungan ini?

16. Lebih menyedihkan GST ini dikenakan sedang percukaian hasil kepada golongan atasan dikurangkan lalu rakyat kebanyakkan di segenap peringkat apatah lagi yang susah dikenakan GST! Di manakah keadilannya?

17. Ini tidak dicampur dengan perencanaan pembangunan harta tanah oleh pemaju-pemaju asing  yang nyata tidak mampu dimiliki oleh kebanyakkan rakyat tempatan termasuk projek-projek mega yang akhirnya akan rugi dan terpaksa hanya menampung kos penyenggaraan dan utiliti. Kerana apa? Kerana jurang kemiskinan yang semakin tinggi yang membawa kepada tiada kuasa membeli. Tidak dicampur keyakinan pelabur yang semakin rendah terhadap kepimpinan negara yang turut memberikan kesan pada kejatuhan nilai ringgit.

18. Dalam pada itu, kepimpinan negara masih lagi mampu senang lenang berlibur dengan berbelanja besar di Bali menginap di hotel mewah puluhan ribu USD sedang rakyat terus menderita, ada pada kita yang kenal erti cuti pun susah apatah lagi mahu ke luar negara terpaksa bertungkus lumus terus bekerja. Namun mereka-mereka ini terus-menerus bersenang-lenang berdiri dan menginjak-injak atas kesusahan rakyat!

19. Itu baru sahaja berkisar pada pembangunan materi dan insani, belum lagi masuk hal berkaitan pembangunan rohani. Nah! Jika sebuah kerajaan yang nyata seringkali terpalit dengan perlakuan rasuah! Ditambah lagi dengan penemuan-penemuan terkini seperti saman DOJ sebagai contoh, bagaimanakah Najib Razak layak menjadi pemimpin yang mampu membangunkan unsur 'spiritual' atau kerohanian untuk mengajak ke arah kebaikan sedang perlakuan kemungkaran nyata dilakukannya dan mencalar segenap aspek pembangunan ummah dan insan!

20. Maka peranan antara pemimpin dengan rakyat dan juga rakyat ke atas pemimpin malah sesama masyarakat (rakyat) itu sendiri akan terus berkisar dengan hal-hal kemungkaran, apatah lagi bila ada rakyat malah masih dalam jumlah yang besar sanggup mempertahankan kemungkaran atau kesalahan yang nyata (penyokong UMNO-Najib Razak), demi kelangsungan wang kocek sendiri dan kepentingan-kepentingan peribadi. Atas alasan pengekalan kuasa Melayu dan 'Islam'.

21. Lalu rakyat terus dibiarkan tercari-cari dan fokus nyatanya hanyalah kepentingan duniawi, sedang pemerintah di bawah UMNO-BN terus menakut-nakutkan rakyat konon hasil untung  budi tanah ini semuanya adalah kerana UMNO! Jadi kita terus tenggelam punca, keimanan entah diletakkan di mana?

22. Adakah Islam mengajar penganutnya melakukan kemungkaran demi pengekalan kuasa itu sendiri? Lantas kita jangan lupa akan sunnatullah. Ketika sultan-sultan Uthmaniah dan para penguasanya tergelincir jauh dari syariat Allah dan rasulnya. Kekhilafahan Uthmaniah yang terbentang luas dari seluruh tanah Arab membawa ke India sehingga wilayah Balkan di Eropah merentas ke Afrika dan Asia Timur akhirnya bercerai-berai akibat 'LALAI dan LUPA' kerana termakan dengan fatamorgana dunia.

23. Sebegitu jugalah Daulah Islamiyyah sebelum-sebelumNya, Allah menggantikan tampuk kekuasaan dari satu empayar kepada empayar yang lain apabila mereka terus lalai dan lari pada jalanNya. Sesungguhnya inilah hukum alam aturan pencipta yang maha Esa.

24. Malaysia dengan seluruh isinya khusus dalam kalangan Melayu-Islam harus bangkit dalam melakukan satu revolusi yang bukan sahaja akan membawa kepada keuntungan materi, namun fokus ke arah pembangunan rohani yang akan membawa pada keuntungan hakiki, ukhrawi dan duniawi. “Kita jaga DIA, DIA lebih jaga kita!”

25. Bercakap soal revolusi, inilah masanya kebangkitan ummah Melayu-Islam untuk menentang segenap kemungkaran, dan kita lakukan dari sekarang dan tekad untuk berpegang pada jalanNya. Apa yang kurang kita sama perbaiki. Sesungguhnya Al-Quran adalah penyuluh alam.

26. Cakap sahaja bab Demokrasi, Keadilan, Sosialis, Kesamarataan dan segenap hal pemikiran manusiawi semuanya terkandung dalam Al-Quran. Hanya itulah jalan kita membangun ummah dan Malaysia ke arah yang lebih baik dan semestinya tanpa sedikitpun ketidak-adilan atas kaum mahupun agama lain kerana Islam adalah jalan sejagat penyelesaian ke atas segala kemaslahatan. Tiada rasisme dalam Islam! Hanyalah kebenaran dan kecintaan.

27. Saya yakin, rakyat Malaysia umumnya dahagakan perubahan, percayalah kita semua harus sama bergandingan. Dalam masa yang sama saya turut menyeru seluruh ahli Parti Pribumi BERSATU Malaysia (PPBM) untuk kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Bimbinglah jiwa kita sama-sama ke arah kebenaran, binalah suatu jalan politik baharu yang berteraskan Iman, Islam dan Ihsan. Kita jadi contoh kepada segenap masyarakat dan komponen parti segandingan yang lain. Bukan lagi politik yang selalu dicanang akan 'keji' dan 'kotor' permainannya. Apa yang kurang kita sama perbetulkan dengan hikmah dan kasih sayang.

AYUH LAKUKAN PERUBAHAN. MALAYSIA INI TANGGUNGJAWAB KITA.
BERSATU BERAMANAH BERMARUAH.