nuffnang Ads

.

2017/07/17

SEGELINTIR PEMINJAM PTPTN GAGAL MENJELASKAN PINJAMAN MEREKA

Kenyataan

Saya merujuk kenyataan YB Dato’ Seri Idris Jusoh berkenaan keengganan segelintir peminjam PTPTN yang enggan menjelaskan hutang mereka. 

Persoalan berkenaan kos pelajaran dan pendidikan anak-anak kita tidak pernah menempuh jalan senang.  Setiap kali sistem pembelajaran ditukar atau dibaikpulih, ada-ada saja cabaran kewangan yang harus rakyat tanggung.

Di dalam konteks PTPTN, secara umumnya, ia merupakan idea yang bernas.  Objektif penubuhan PTPTN untuk mencorak disiplin kewangan dan berdikari di kalangan generasi muda dalam pembiayaan pembelajaran mereka sendiri terutama di kalangan mereka yang keluarga mereka berpendapatan rendah.  Ianya suatu objektif yang mulia.  Itu saya akui.

Tetapi seperti segala projek awam lewat ini, pelaksanaannya kurang memuaskan kerana ianya gagal menangani isu-isu sampingan dan berbangkit.  Salah satu contohnya ialah isu pembayaran balik hutang PTPTN.  Di sini, kita harus lihat semula bagaimana perubahan dibuat pada tahap pendidikan tinggi telah mencorak pembangunan PTPTN.

Sebenarnya, apabila Kementerian Pendidikan mengubah sistem pendidikan tinggi (tertiary) dengan menggalakkan lebih ramai pelajar mengejar kursus diploma berbanding STPM, ianya telah menyebabkan kekeliruan di kalangan ibubapa.   Ini kerana pasca SPM, pelajar-pelajar yang diberi aliran kursus mengikut keputusan mereka, di beri pilihan antara STPM, matrikulasi atau kebanyakannya ditawar kursus diploma di dalam bidang-bidang yang kurang menarik dan kurang sambutan. 

Oleh kerana tempat bagi STPM dan matrikulasi adalah terhad dan lazimnya diberi kepada mereka yang berkeputusan paling cemerlang, pelajar-pelajar lain terpaksa menerima kursus diploma yang ditawarkan atau terpaksa mengikuti kursus diploma di institusi pengajian swasta yang tentunya lebih mahal kosnya. 

Bagi kebanyakan mereka, tiada pilihan pembiayaan kecuali PTPTN walau hanya untuk kursus diploma.  Di sini harus kita ambilkira bahawa pinjaman PTPTN adalah sama kosnya seperti pinjaman bank kerana terdapat unsur caj/bunga selaras dengan peratusan dikenakan oleh bank-bank.  Ianya tidak boleh disamakan dengan pinjaman agensi-agensi kerajaan seperti MARA yang tidak mengenakan caj. 

Juga, perlu kita sedar, salah satu kriteria pinjaman PTPTN juga ialah pelajar perlu membayar balik pinjaman tersebut sebelum mengambil pinjaman lagi untuk meneruskan pelajaran ke tahap ijazah sarjana muda. 

Disebabkan ini, kebanyakan pelajar tak akan punya pilihan lain kecuali mencari pekerjaan dahulu sebelum mampu melanjutkan pelajaran. Berbekalkan kelayakan diploma sahaja tidak akan membuka peluang pekerjaan yang lumayan bagi mereka ini.

Oleh itu, semestinya keutamaan diberi bagi keperluan asas seperti tempat tinggal dan pengangkutan bagi memenuhi keperluan sara hidup. 

Jika ada yang punya kad kredit, saya sarankan BNM kaji semula sama ada mereka-mereka ini menggunakan kad kredit tersebut sebagai kaedah menambahkan kecairan kewangan peribadi mereka setiap bulan, atau sebagai suatu kemewahan seperti yang diumpamakan oleh kajian tersebut.

Pokoknya disini, statistik yang dikumpul walau menunjukkan kelakuan segelintir peminjam, tidak menjelaskan sebab-musabab corak perbelanjaan mereka tersebut.  Dan tentu sekali jika ini hanya segelintir dari mereka, bagaimana pula yang lain-lainnya? 

Di sini, saya alu-alukan agar statistik hasil kajian BNM ini diterbitkan kepada rakyat awam untuk diambil iktibar. 

Saya juga menggesa supaya apa-apa kajian, mengupas dengan lebih mendalam sebab-musabab sesuatu permasaalahan dan bukan hanya membuat tanggapan mengikut nombor.

Kualiti hidup rakyat terutama di dalam suasana ekonomi yang mencabar ini memainkan peranan penting dalam corak perbelanjaan dan profil hutang rakyat marhaen. 

Jangan kita mengambil keputusan tergesa-gesa sehingga menganiaya rakyat. 

Tariq Ismail
Ketua Penaja Bahagian P149 Sri Gading
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia