Kenyataan Media
Saya merujuk luahan hati seorang peniaga kedai makan di Batu Pahat berkenaan nasib pelajar-pelajar Universiti Tun Hussein Onn. Beliau mendakwa bahawa semakin ramai pelajar-pelajar UTHM yang terpaksa mengikat perut dan hanya mampu makan nasi putih dengan berlaukkan kuah sahaja. Kalau dulu mungkin hanya 2 dari 10 pelajar yang begitu, sekarang setiap 8 atau 9 pelajar dari setiap 10 mengalami keadaan yang sama. Semuanya akibat kenaikan kos sara hidup yang tak tertanggung oleh rakyat.
Sebenarnya, kecuali ianya biasiswa, pinjaman pelajaran hanya mencukupi untuk membayar yuran pelajaran, buku-buku dan perkakas belajar sahaja. Duit makan minum dan kos sara hidup mungkin ada tapi lazimnya ibu bapa perlu tanggung. Bila kos sara hidup meningkat, ibu bapa tak mampu tanggung. Dan melihatkan keadaan ekonomi sekarang, saya pasti semakin ramai yang pendapatan mereka sudah jatuh ke tahap hampir miskin.
Tetapi anak-anak kita tidak sepatutnya menjadi mangsa keadaan. Dalam suasana kita berbangga pencapaian negara setaraf negara maju, kita abaikan nasib pelajar-pelajar universiti kita. Mungkin salah kita kerana memberi lebih peluang ke menara gading tapi terlupa buat peruntukan yang mencukupi agar mereka pasti cemerlang. Di sinilah sepatutnya menteri-menteri yang berkenaan memeras otak bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini.
Tapi saya tahu, kalau ikut rasmi UMNO, pelajar akan disarankan supaya - 1) cari kerja sambilan 2) kurangkan berbelanja, atau 3) jangan makan. Tetapi, jangan lupa jadi pelajar cemerlang dan paling penting jangan lupa bayar balik pinjaman dengan bunga sekali. Atau ibu bapa disarankan ambil kerja kedua atau ketiga.
Pemimpin yang berwibawa akan memimpin dengan penuh kemanusiaan dan tidak dayus menangani kemelut hidup rakyat. Sudah tiba masa nasib rakyat terbela. Pemimpin, sila pimpin!
Tariq Ismail
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Ketua Penaja Bahagian P149 Sri Gading
Parti Pribumi Bersatu Malaysia