Bekas editor Kumpulan New Straits Times Mustapha Kamil berkongsi pengalamannya di Facebook membincangkan cara Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya dalam berurusan dengan wartawan.
Katanya, bagi wartawan semasa zamannya itu, Tun Dr Mahathir adalah apa yang disebut sebagai pemimpin yang sentiasa menjadi 'sumber berita'.
“Ini bermakna mereka yang membuat liputan ke atasnya, akan mendapat sekurang-kurangnya satu halaman utama berita," tulisnya.
Bagaimanapun, Mustapha mengeluh dengan pengganti yang dipilih oleh Mahathir, iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi.
"Apabila saya membuat liputan ke atas penggantinya, Tun Abdullah, hampir separuh masa saya mengalami kesukaran untuk mula menulis berita. Ada kala, saya fikir Abdullah sendiri tidak faham apa yang dikatakannya," katanya.
Mengenai liputan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bekas editor akhbar berkaitan Umno itu mendakwa beliau punca dirinya menamatkan kerjaya dalam bidang kewartawanan.
"Dan membuat liputan mengenai Najib, saya terpaksa banyak berbohong dan saya tidak suka berbuat demikian. Jadi saya berhenti," katanya.
Mustapha melepaskan jawatan dari NST pada April tahun lalu susulan laporan Wall Street Journal mengenai skandal 1MDB pada tahun 2015.