nuffnang Ads

.

2019/05/13

Wahabi Mengkafirkan Sesama Umat Islam..?

Kredit : Id Fb - Pemikir Kolot

Isu "Wahabi mengkafirkan sesama umat Islam" ini adalah isu yang lapuk tetapi masih dikitar semula oleh pihak penentang yang jauh tertinggal di belakang. Sebaliknya sudah ramai yang telah mengetahui hakikat sebenar dakwah Syeikh Muhammad ibn Abd Wahab. Jika 30 tahun dahulu pada zaman yang mana maklumat sukar di dapati mungkin isu ini laris dipasaran. Tetapi pada zaman ini yang mana maklumat mudah di dapati dan tulisan-tulisan dan kitab-kitab Syeikh Muhammad ibn Abd Wahab boleh didapati mungkin isu ini agak kurang laris.

Jika benar dakwaan mereka maka bawakanlah bukti dari kitab Syeikh Muhammad ibn Abd Wahab sendiri atau usul di dalam "Wahabi" yang mengatakan wajib atau mesti mengkafirkan sesama muslim untuk membuktikan kebenaran dakwaan mereka itu, jika tidak ia adalah tuduhan dan fitnah semata-mata.

Jika usul manhaj "Wahabi" mengkafirkan sesama muslim barulah boleh dikatakan mereka mengkafirkan sesama muslim. Sedangkan "Wahabi" bermanhaj Salaf. Tetapi jika ada beberapa pengikut yang mengkafirkan itu bukanlah bererti "Wahabi" yang mengkafirkan sesama umat Islam, tetapi itu hanya individu. Jika hanya individu maka tidaklah adil untuk mengatakan "Wahabi" itu sendiri mengkafirkan sesama umat Islam tetapi cuma individu tertentu. Kerana setiap mazhab dan aliran tidak terlepas dari pengikut-pengikut yang taksub dan mengkafirkan sesama umat Islam.

Misalnya, ada yang mendakwa bermazhab Syafie tetapi mengkafirkan "Wahabi" dan sesama umat Islam yang lain maka bukanlah Imam Asy-Syafie atau mazhabnya yang salah kerana mengkafirkan sesama umat Islam, tetapi yang salah adalah individu tersebut.

Bahkan dalam mazhab Asya'irah sendiri juga ada yang mengkafirkan sesama umat Islam. Sejarah Ibnu Tumart membuktikan kebenaran dakwaan ini. Ini tidak bermakna Imam Abul Hasan al-Asy'ari yang mengkafirkan atau mengajarkan supaya mengkafirkan sesama umat Islam.

Sedangkan Syeikh Muhammad ibn Abd Wahab sendiri mengatakan bahawa dia tidak mengkafirkan ahli kiblat.

Jika mereka tidak membawa bukti dari kata-kata atau dari kitab dan tulisan Syeikh Muhammad ibn Abd Wahab sendiri bahawa dia mewajibkan pengikutnya mengkafirkan sesama umat Islam maka kita kira dakwaan mereka hanyalah tuduhan kosong dan fitnah yang tidak ada asal.

Jika Syiah kita katakan sesat maka kita boleh buktikan dari kitab-kitab mereka yang bertentangan dengan manhaj Salaf malah mencaci maki as-Salaf as-Shalih (sahabat serta isteri-isteri Nabi Saw). Jika benar "Wahabi" dikatakan "sesat" dan "menyeleweng" seperti Syiah, mengapa tidak dilakukan seperti yang dilakukan kepada Syiah dengan mengeluarkan kesesatan mereka dari kitab-kitab mereka? Keluarkan dari kitab-kitab atau tulisan-tulisan Syeikh Muhammad ibn Abd Wahab yang bertentangan dengan usul Ahli Sunnah wal Jamaah.