nuffnang Ads

.

2019/05/13

Adakah Tidak Sah Tauhid Sesiapa Yang Tidak Mempelajari Sifat 20.?

Kredit : ID FB - Pemikir Kolot

Ada sebahagian penganut Sifat 20 mengatakan wajib mempelajari Sifat 20 untuk mengenal Allah Swt. Bahkan ada yang ekstrim lagi sehingga mengkafirkan sesiapa yang tidak menerima Sifat 20. Dengan kesimpulan Sifat 20 ini adalah untuk mengenal Allah Swt, jika tidak mempelajarinya bererti tidak mengenal Allah Swt, dan sesiapa yang tidak mengenal Allah maka ia kafir.

Yang pertama, jika tujuan akhir Sifat 20 ini adalah untuk mengenal Allah Swt, bagaimana kalau mereka yang mengenal Allah Swt bukan melalui Sifat 20? Kerana bagi mereka mempelajari kaedah Tauhid Rububiyah, Uluhiyah, dan Asma' wa Sifat lebih memudahkan mereka untuk mengenali Allah Swt dan segala sifat-sifatNya. Kerana dengan kaedah ini tidak membuatkan mereka menolak atau mentakwilkan sifat-sifat Allah. Jika sah Islam dan tauhidnya, mengapa mengkafirkan orang yang menggunakan kaedah Tauhid Rububiyah, Uluhiyah, dan Asma' wa Sifat dengan alasan ianya menyerupai Trinity ahli kitab?

Yang kedua, kalau dikatakan Sifat 20 adalah wajib untuk mengenali Allah Swt. Kami rasa masih ramai orang yang belum mengenal Allah Swt kerana masih ramai juga yang tidak mengetahui apa itu Sifat 20. Jadi adakah sah islam dan tauhidnya jika tidak mengenali Allah Swt dengan mempelajari Sifat 20? Apakah sah amal ibadat mereka selama ini? Ini kerana, berapa orangkah dari kalangan orang awam yang menghafal satu persatu usul sifat 20 dan jika ada yang menghafalnya satu persatu adakah mereka faham satu persatu maksud dan tuntutan dari Sifat 20 itu? Jika belum faham adakah bermakna mereka belum mengenali Allah Swt sebagai Tuhan mereka. Jadi kepada siapakah mereka beribadat selama ini? Sekali lagi kita tanya, ianya untuk memudahkan kita mengenal Allah Swt atau untuk merumitkan?

Malah dengan kaedah ini boleh membuatkan orang mengenali dan menyembah Tuhan yang tidak memiliki sifat. Ini kerana setiap nas al-Sifat yang dikhabarkan dari Allah dan RasulNya yang bertentangan dengan kaedah yang mereka tetapkan itu akan ditolak (sebagaimana mereka menolak sifat yang lain seperti: Istiwa', Turun dan Tangan kerana bercanggah dengan kaedah Sifat 20). Ini seolah menyembah sesuatu yang tidak wujud. Sebagaimana kenyataan sebahagian ulama yang berbunyi:

"Seorang al-Musyabbih (yang menyerupakan sifat Tuhan dengan makhluk) menyembah berhala manakala seorang al-Mu'thil (yang membatalkan sifat Tuhan) menyembah sesuatu yang tidak wujud. Sebaliknya seorang al-Muwahhid (mentauhidkan Allah) menyembah Tuhan yang menjadikan langit dan bumi."
[Kenyataan Ibnu Taimiyyah diperolehi dari kitab al-Tanbihat al-Sunniyyah 'ala al-Aqidah al-Wasotiyyah; Abd al-Aziz bin Nasir al-Rasyid, hlm. 9]

Bukankah perbincangan Sifat 20 baru bermula di zaman selepas masuknya pengaruh falsafah Yunani dan Ilmu Kalam ke dalam islam. Adakah para Imam mazhab dan ulama salaf yang tahu bahawa ianya wajib dipelajari untuk mengenal Allah Swt. Jika mereka tidak mempelajari Sifat 20 adakah mereka tidak mengenali Allah Swt? Jika ianya wajib pada zaman ini mengapa ianya tidak menjadi wajib pada zaman sahabat dan ulama salaf? Sedangkan ulama mengatakan: "Apa yang bukan agama pada zaman Nabi Saw dan para sahabat maka tidak menjadi agama pada zaman kita."

Seterusnya, kita katakan untuk mengenal Allah Swt bukanlah dengan cara dan kaedah yang ditetapkan oleh akal manusia atau mantik falsafah al-Yunan. Manusia tidak akan dapat lari dari tersalah mahupun tersilap, tidak ada sesiapa yang menafikan hal ini. Kemampuan ilmu dan akal manusia juga terbatas. Bagaimana akal manusia yang terbatas dan lemah ini boleh menetapkan sifat-sifat apa yang layak dan apa yang tidak layak bagi Allah Swt dan mampu mengenal Tuhannya tanpa wahyu? Maka tidak ada cara lain untuk mengenal Allah Swt melainkan dengan apa yang diajarkan sendiri oleh Allah Swt dan RasulNya dan dengan cara para sahabat dan para as-Salaf as-Shalih mengenal Allah Swt.

Jika ada yang meyakini dengan Sifat 20 mereka boleh mengenal Allah, janganlah mereka mengatakan orang yang tidak memperlajari Sifat 20 tetapi mentauhidkan Allah Swt dengan Tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan Asma' wa Sifat itu sebagai sesat, songsang atau tidak mentauhidkan Allah Swt. Kerana mereka yang tidak mempelajari Sifat 20 tidak meyakini dengan kaedah Sifat 20 ini mereka boleh mengenal Allah. Kerana apa sahaja yang datang dari Allah dan Rasul-Nya bercanggah dengan kaedah Sifat 20 akan ditolak secara 'sopan' dengan kaedah al-Takwil. Jika begitu bagaimana untuk mengenal-Nya kalau apa yang empunya sifat sendiri mengabarkan tentang sifat-sifatnya kita tidak mempercayai? Tetapi kita lebih mempercayai akal-akal ahli falsafah al-Yunan. Apakah para sahabat, tabi'in dan ulama salaf tidak memiliki akal? Jika mereka memiliki akal mengapa kita tidak mengikuti akal mereka yang semestinya lebih selamat.

Jika kaedah Sifat 20 ini tidak membawa kepada penafian sifat-sifat Allah Swt dengan mentakwilkan sifat-sifat Allah Swt yang terang yang jelas disebutkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah misalnya sifat Istiwa' di atas Arasy, Turun, Tangan, Mata dan sifat-sifat yang lain maka kita tidak ada masalah dengannya. Yang menjadi masalah apabila menggunakan Sifat 20 yang ditetapkan oleh ilmu dan akal orang-orang Yunani (yang belum tentu mereka itu beriman) yang terbatas lalu menolak dan mentakwil sifat-sifat Allah Swt yang dari al-Quran dan al-Hadis supaya menepati dan tidak bertentangan dengan kaedah yang ditetapkan oleh ilmu dan akal manusia yang terbatas (berdasarkan akal ahli falsafah Yunani).

Dan sekaligus menjawab tuduhan mereka yang mengatakan bahawa kami jumud kerana menolak akal. Kami katakan, kami tidak menolak akal, tetapi mereka yang menamakan kaedah mereka itu sebagai akal. Kaedah yang baru wujud setelah penterjemahan kitab-kitab Yunan.

Yang kita tolak adalah kaedah yang mereka tetapkan dari kaedah-kaedah falsafah Yunan itu yang mereka namakan sebagai 'akal'. Itulah yang kita tolak. Bukan bererti kita tidak menggunakan akal atau menolak akal. Kerana banyak ayat di dalam al-Quran yang menyuruh kita berfikir menggunakan akal. Tetapi akal yang sahih iaitu akal para sahabat dan al-Salaf as-Shalih.

Wahabi Mengkafirkan Sesama Umat Islam..?

Kredit : Id Fb - Pemikir Kolot

Isu "Wahabi mengkafirkan sesama umat Islam" ini adalah isu yang lapuk tetapi masih dikitar semula oleh pihak penentang yang jauh tertinggal di belakang. Sebaliknya sudah ramai yang telah mengetahui hakikat sebenar dakwah Syeikh Muhammad ibn Abd Wahab. Jika 30 tahun dahulu pada zaman yang mana maklumat sukar di dapati mungkin isu ini laris dipasaran. Tetapi pada zaman ini yang mana maklumat mudah di dapati dan tulisan-tulisan dan kitab-kitab Syeikh Muhammad ibn Abd Wahab boleh didapati mungkin isu ini agak kurang laris.

Jika benar dakwaan mereka maka bawakanlah bukti dari kitab Syeikh Muhammad ibn Abd Wahab sendiri atau usul di dalam "Wahabi" yang mengatakan wajib atau mesti mengkafirkan sesama muslim untuk membuktikan kebenaran dakwaan mereka itu, jika tidak ia adalah tuduhan dan fitnah semata-mata.

Jika usul manhaj "Wahabi" mengkafirkan sesama muslim barulah boleh dikatakan mereka mengkafirkan sesama muslim. Sedangkan "Wahabi" bermanhaj Salaf. Tetapi jika ada beberapa pengikut yang mengkafirkan itu bukanlah bererti "Wahabi" yang mengkafirkan sesama umat Islam, tetapi itu hanya individu. Jika hanya individu maka tidaklah adil untuk mengatakan "Wahabi" itu sendiri mengkafirkan sesama umat Islam tetapi cuma individu tertentu. Kerana setiap mazhab dan aliran tidak terlepas dari pengikut-pengikut yang taksub dan mengkafirkan sesama umat Islam.

Misalnya, ada yang mendakwa bermazhab Syafie tetapi mengkafirkan "Wahabi" dan sesama umat Islam yang lain maka bukanlah Imam Asy-Syafie atau mazhabnya yang salah kerana mengkafirkan sesama umat Islam, tetapi yang salah adalah individu tersebut.

Bahkan dalam mazhab Asya'irah sendiri juga ada yang mengkafirkan sesama umat Islam. Sejarah Ibnu Tumart membuktikan kebenaran dakwaan ini. Ini tidak bermakna Imam Abul Hasan al-Asy'ari yang mengkafirkan atau mengajarkan supaya mengkafirkan sesama umat Islam.

Sedangkan Syeikh Muhammad ibn Abd Wahab sendiri mengatakan bahawa dia tidak mengkafirkan ahli kiblat.

Jika mereka tidak membawa bukti dari kata-kata atau dari kitab dan tulisan Syeikh Muhammad ibn Abd Wahab sendiri bahawa dia mewajibkan pengikutnya mengkafirkan sesama umat Islam maka kita kira dakwaan mereka hanyalah tuduhan kosong dan fitnah yang tidak ada asal.

Jika Syiah kita katakan sesat maka kita boleh buktikan dari kitab-kitab mereka yang bertentangan dengan manhaj Salaf malah mencaci maki as-Salaf as-Shalih (sahabat serta isteri-isteri Nabi Saw). Jika benar "Wahabi" dikatakan "sesat" dan "menyeleweng" seperti Syiah, mengapa tidak dilakukan seperti yang dilakukan kepada Syiah dengan mengeluarkan kesesatan mereka dari kitab-kitab mereka? Keluarkan dari kitab-kitab atau tulisan-tulisan Syeikh Muhammad ibn Abd Wahab yang bertentangan dengan usul Ahli Sunnah wal Jamaah.