nuffnang Ads

.

2017/06/30

BAGAIMANA NAJIB HENDAK MENANG - Rayuan Tun Mahathir



1. Ini merupakan penulisan ke-3 berkenaan tajuk di atas. Apa yang akan Najib lakukan atau mungkin lakukan untuk menang Pilihanraya ke-14 boleh memuat senaskhah buku. Saya hanya senaraikan beberapa tindakan yang telah dia lakukan sebelum dan selepas Pilihanraya Umum ke-13 dan apa yang dilakukan semasa pilihanraya kecil dan juga lain-lain yang dilakukan untuk menyekat bangkangan terhadapnya.

2. Negara masih ingat demonstrasi Bersih 5. Dia menyatakan yang dia tidak akan sekat. Tetapi kita semua tahu apa yang dia bermati-mati lakukan untuk menghalang demonstrasi itu daripada diteruskan sama sekali atau untuk mengurangkan skalanya.

3. Kesemua tempat yang dicadangkan oleh Bersih tidak diluluskan pihak polis. Beberapa jalan juga di klasifikasikan sebagai tidak sesuai. Demonstrasi tidak boleh ada apa-apa unsur keganasan. Tidak boleh ada apa-apa sampah dibuang oleh para peserta demonstrasi. Baju kuning menjadi pakaian jenayah.

4. Bersih telah patuhi hampir kesemua sekatan ini. Tidak seperti demonstrasi jalanan di negara-negara lain, pesertanya tidak memenuhi jalan-jalan tetapi hanya di kaki lima. Mereka mematuhi kesemua arahan polis. Malahan ada pasukan untuk mengutip sampah. Peserta juga elak daripada membuang sampah di jalan. Tidak ada keganasan, walaupun apabila bertembung dengan penyokong Kerajaan berbaju merah. Dunia tidak pernah menyaksi demonstrasi yang begitu tertib dan aman. Tidak ada gas pemedih mata, tiada pembakaran tayar, tiada kenderaan yang diterbalikkan.

5. Walaupun penganjur telah memberikan ketetapan untuk patuhi kesemua syarat-syarat, beberapa hari sebelum demonstrasi, Maria Chin Abdullah, pemimpin utama bersama sembilan lagi pemimpin yang lain ditangkap. Maria dihumban ke dalam bilik yang sejuk dan gelap. Ini merupakan satu penyeksaan. Demonstrasi tetap berjalan tanpa ramai daripada pemimpin mereka.

6. Beberapa hari selepas demonstrasi berakhir barulah Maria dan yang lain-lain dibebaskan. Ianya juga kerana ramai yang melakukan protes secara senyap di Dataran Merdeka setiap malam.

7. Inilah salah satu cara Najib untuk menakutkan pembangkang.

8. Dari episod ini kita dapat jangkakan yang Najib akan bertindak untuk menghancurkan pembangkang dan menakutkan rakyat semasa Pilihanraya Umum ke-14.

9. Terdapat beberapa tanda-tanda atau usaha untuk membina kes bagi menangkap dan menahan pemimpin pembangkang. Penahanan pemimpin pembangkang akan mengucar-kacirkan parti. Memang tindakan akan sebabkan rakyat marah tetapi ramai yang akan rasa takut untuk undi pembangkang. Mereka percaya yang Najib akan dapat tahu dan tindakan akan diambil terhadap mereka. Tanpa pemimpin mereka tidak akan tahu apa yang harus dilakukan.

10. Undi untuk pembangkang akan merosot. Dan semasa ketiadaan pemimpin, Najib boleh rasuah rakyat dan pekerja parti sesungguh hatinya. Mereka akan lakukan semua perkara yang melanggar undang-undang menurut kehendaknya. Duit akan mengalir tanpa batas.

11. Pekerja pilihanraya dan juga pegawai mungkin akan menyalah arahkan pengundi, dan undian akan dimanipulasi. Ramai yang tidak akan boleh buang undi sama sekali. Undi pos akan di “hijack” dan dipindahkan bagi menaikkan jumlah undi di kawasan calon-calon penting BN.

12. Secara dasar Malaysia bukan lagi sebuah demokrasi. Kita kini di klasifikasikan sebagai sebuah kleptokrasi, sebuah negara yang dipimpin pencuri. Tahap penipuan dalam Pilihanraya akan menjadikan ianya tidak bererti sama sekali. Ianya memalukan.

13. Ketua Polis Negara mungkin tidak bersetuju tetapi Malaysia telah pun menjadi negara polis atau “Police State”. Tidak ada peraturan undang-undang. Samada arahan itu bertentangan undang-undang negara atau tidak, polis telah menunjukkan yang mereka bersedia menjalankannya. Mereka akan tahan pemimpin pembangkang walaupun sedar yang mereka ini tidak pun melakukan apa-apa kesalahan. Mereka akan menganggu-gugat orang, memanggil untuk disoal-siasat dan diancam. Kesemua ini telah dilakukan dan ianya dilakukan dengan persetujuan KPN.

14. Semua ini akan berlaku lagi semasa pilihanraya diadakan. Tetapi Najib juga boleh untuk tidak adakan pilihanraya. Ianya di bawah bidang kuasa dia untuk berbuat sedemikian. Undang-undang tidak akan menghalangnya. Hanya dengan mengisytiharkan darurat, walaupun hakikatnya tidak pun timbul situasi sebegitu dia boleh gantung perlembagaan.

15. Dan dia akan dapat sokongan tidak belah-bahagi pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Mereka ini semua tahu yang pemimpin mereka ini menyalahguna kuasa. Mereka sedar akan siasatan dan tuduhan terhadap Najib oleh beberapa badan siasatan negara asing. Mereka tahu tentang laporan jenayah oleh Department of Justice Amerika Syarikat, penahanan individu dan penutupan bank-bank di Singapura yang terpalit dengan skandal 1MDB. Mereka tahu tentang kegiatan rasuah berleluasa melibatkan duit curi yang dilakukan Najib bermula sebaik sahaja ianya menjawat jawatan. Dia telah menghancurkan UMNO dan negara.

16. Said Keruak, Annuar Musa, Zahid Hamidi, Hishamuddin, Mustapa Mohamad, pemimpin-pemimpin MCA dan MIC dan kesemua Menteri Kabinet sedikit pun tidak ambil kisah. Mereka tidak kisah apa yang akan jadi kepada negara ini, kepada rakyat dan kepada reputasi Kerajaan yang baik yang telah dibina pemimpin-pemimpin terdahulu.

17. Apa yang mereka kisah hanyalah kedudukan mereka, kemudahan yang mereka dapat serta kemungkinan besar dedak yang diperolehi. Biarlah negara ini hancur. Biarkan ianya dipanggil kleptokrasi. Biarkan ianya tersenarai sebagai diantara 10 negara paling korup di dunia. Mereka tidak kisah. Tidak mungkin mereka tidak tahu. Tetapi mereka tidak kisah.

18. Rakyat boleh menderita. Itu bukan masalah Bapak-bapak Menteri. Dipimpin pencuri tidak mengapa.

19. Asalkan mereka sendiri dapat meraih untung untuk diri mereka sendiri tidak mengapa, apa yang nak dikisahkan tentang perkara lain.

20. Saya sedar yang pemimpin-pemimpin pembangkang sedang dijerut. Tetapi saya merayu kepada semua rakyat Malaysia; Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut Bajau dan lain-lain tolaklah Najib di Pilihanraya Umum ke-14 walaupun pemimpin pembangkang dimasuk di dalam penjara.

21. Rakyat Malaysia!

22. Ini adalah negara negara kita. Kita dilahirkan di sini. Kita dibesarkan di sini. Kita telah merasai kehidupan yang baik di sini, mendapat pendapatan yang halal dari pekerjaan yang dilakukan dan perkhidmatan yang diberikan.

23. Selamatkanlah negara ini daripada dihancurkan dan diranapkan sama sekali oleh Najib dan ketamakan kleptokrat-kelptokratnya.

TUN MAHATHIR MOHAMAD

#BERSATU
#BERAMANAH
#BERMARUAH

2017/06/29

BERJAGA-JAGA UNGKIT PERKARA LAMA - NASIHAT KEPADA INDIVIDU² TERTENTU

BISMILAHHIRAHMANNIRRAHIM..

Oleh : A. Kadir Jassin

KEBELAKANGAN ini beberapa saluran propaganda arus perdana telah membangkitkan semula peristiwa yang berlaku masa lampau.

Dua daripadanya adalah skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan pembabitan Bank Negara dalam perniagaan tukaran mata wang.

Saya membuat liputan kedua-dua peristiwa tersebut.

Dalam kes BMF, saya adalah antara wartawan terawal membuat berita yang kemudiannya didapati tidak benar. Apabila berita skandal itu mula dilaporkan oleh agensi berita antarabangsa dan media serantau, saya bertanya seorang pegawai kanan Bank Bumiputra mengenainya.

Bank Bumiputra adalah induk kepada BMF yang berupa sebuah syarikat pinjaman yang beribu pejabat di Hong Kong. 

Pegawai itu menafikan berita yang BMF mengalami masalah kewangan akibat hutang lapuk. Saya menyiarkan berita itu dalam akhbar saya, Business Times.

Laporan saya itu ternyata songsang dan krisis MBF akhirnya meledak menyebabkan kerugian besar kepada Bank Bumiputra.

Pokok pangkal skandal itu bermula sekitar tahun 1979-80 ketika mana Perdana Menteri ialah Allahyarham Tun Hussein Onn dan Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sebelum dilantik Menteri Kewangan pada tahun 1976, Tengku Razaleigh adalah Pengerusi Bank Bumiputra.

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Perbadanan Nasional (Pernas), Petronas dan Kumpulan Fleet yang memiliki New Straits Times Press Berhad.

Skandal itu bermula apabila BMF memberikan pinjaman besar dan mudah kepada seorang jurutera Singapura bernama George Tan.

Dengan pinjaman BMF itulah Tan membeli pencakar langit Gammon House dan harta-harta lain di Hong Kong. Dalam sekelip mata Tan menjadi wunderkinder atau budak ajaib dunia korporat Hong Kong. Waktu itu Hong Kong masih tanah jajahan Inggeris.

Siasatan yang dilakukan di Malaysia, Hong Kong dan United Kingdom akhirnya menyebabkan tiga rang pegawai kanan Bank Bumiputra dan BMF dipenjarakan di England dan Hong Kong. Salah seorang daripadanya adalah pegawai yang memberitahu saya bahawa BMF tidak menghadapi sebarang masalah.

Mereka yang didapati bersalah dan dipenjarakan adalah pengerusi Bank Bumiputra, Lorraine Esmi Osman; Pengarah Urusan Hashim Shamsuddin dan Ketua Pegawai Ekonomi, Dr  Rais Saniman. Lorraine meninggal tahun 2011.

Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, sebuah jawatankuasa penyiasat yang dianggotai oleh Ketua Juruaudit Negara, Tan Sri Ahmad Nordin, juruaudit bebas Ramli Ibrahim dan peguam Chooi Man Sou telah ditubuhkan. Antara fakta yang muncul ialah lembaga pengarah Bank Bumiputra enggan memberi kerjasama.

Berikutan meledaknya skandal itu, Tengku Razaleigh ditukarkan dari Kementerian Kewangan ke Kementerian Perdagangan dan Perindustrian. Ahli perniagaan dan bekas majistret Tun Daim Zainuddin dilantik menggantikan beliau.

Kes kedua ialah kerugian perniagaan tukaran asing Bank Negara pada tahun 1990-an yang berjumlah AS$12 bilion atau kira-kira RM30 bilion pada kadar tukaran waktu itu.

Tujuan tersirat operasi itu adalah mempertahankan nilai ringgit dan, kalau nasib baik, buat keuntungan luar biasa tetapi ia berakhir dengan kerugian. Gabenor Bank Negara waktu itu, Allahyarham Tan Sri Jaffar Hussein, mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan.

Pegawai yang bertanggungjawab terus dalam operasi tersebut, Tan Sri Nor Mohamed Yackop, diarahkan berhenti.

Ironinya orang yang digunakan untuk mengungkit peristiwa tersebut iaitu Datuk Abdul Murad Khalid adalah penolong gabenor yang bertanggungjawab ke atas peraturan perbankan dan kawal selia ketika krisis itu meletus.

Apatah lagi Abdul Murad sendiri kemudiannya disiasat dan dituduh di mahkamah kerana gagal mengisytiharkan aset berjumlah hampir RM24 juta.

Soalnya bagaimanakah seorang pegawai Bank Negara yang baru berusia dalam lingkungan 50 tahun boleh mengumpul harta sebanyak  itu? Beliau didapati bersalah dan didenda RM500,000.

Isu-isu ini diungkit oleh saluran propaganda yang tidak pun tahu keadaan sebenar atau yang berasa generasi muda boleh dibohongi kerana mereka tidak tahu apa-apa dan generasi lama sudah lupa.

Seperkara lagi, wujud perbezaan besar di antara kerugian perniagaan tukaran mata wang Bank Negara dengan skandal BMF tahun 1980-an dan 1MDB sekarang.

Dalam kes perniagaan tukaran mata wang Bank Negara, tujuannya baik iaitu mempertahankan nilai ringgit dan tidak ada duit haram yang masuk ke dalam akaun peribadi sesiapa.

Tetapi skandal 1MDB ada persamaan dengan BMF kerana ia membabitkan orang tengah - George Tan dalam kes BMF dan Jho Low dalam kes 1MDB. Dalam kedua-dua kes, banyak duit yang mengalir keluar dan tidak mengalir masuk semula. Unsur-unsur jenayah dan penipuan amat jelas.

1MDB: CAMPURTANGAN ASING CELAH MANA SHEIKH?

Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, yang menganggotai PBB serta Komanwel, sudah tentu mempunyai hubungan dengan agensi-agensi antarabangsa dalam pelbagai bidang. Kita bukan negara tertutup seperti Korea Utara yang menolak segala bentuk kerjasama atau perkongsian maklumat dalam bidang-bidang tertentu dengan pihak luar terutama dengan dunia Barat. Jika bab jenayah memang dari dahulu lagi negara kita pernah berkolaborasi dengan FBI, Scotland Yard & INTERPOL.

Skandal 1MDB yang terjadi melibatkan beberapa negara termasuk USA, Switzerland, Hong Kong, Singapura dan Kepualaun Cayman. Ia merupakan jenayah penggubahan wang haram serta kecurian wang korporat melibatkan dana kerajaan Malaysia berjumlah berbilion-bilion Ringgit Malaysia. Kes 1MDB merupakan antara jenayah kolar putih (jenayah komersil) yang terbesar dalam peradaban moden manusia.

Oleh kerana watak-watak yang terlibat dalam skandal 1MDB tersebut bermastautin dan banyak berurusan di USA, maka kes ini disiasat oleh agensi anti jenayah negara tersebut seperti Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Keadilan (DOJ). Skandal ini juga sedang dalam siasatan pihak berkuasa Switzerland, Hong Kong dan Singapura. Ia merupakan suatu kelaziman untuk agensi-agensi kerajaan luar menyiasat jenayah yang dilakukan di negara mereka oleh warga asing (seperti warga Malaysia).

Untuk memahami skala kes 1MDB tersebut, kita tidak semestinya perlu menjadi pakar dalam bidang ekonomi, urus-niaga atau jenayah kolar putih. Tetapi adalah cukup memadai jika kita memahami asas ilmu ekonomi, prihatin perkembangan berita-berita dari luar negara serta teliti dalam mencerna maklumat-maklumat perundangan yang biasanya diterbitkan dalam Bahasa Inggeris terlebih dahulu sebelum ianya diterjemah ke Bahasa Melayu oleh media-media tempatan. Itu pun jika skandal 1MDB ini dibicarakan dengan adil oleh media-media arus perdana tempatan, yang mana kita sedia maklum ia tidak berlaku dalam negara ini akibat cengkaman Kerajaan Malaysia terhadap media-media tersebut.

Oleh itu, sumber maklumat mengenai skandal besar yang melibatkan Kerajaan Malaysia (Kerajaan Najib) ini biasanya diperolehi dari sumber-sumber media alternatif termasuk dari luar negara. Maka di sini kemahiran memahami Bahasa Inggeris menjadi penting untuk kita lebih memahami apa yang sebenarnya terjadi.

Maka timbul satu persoalan, sejauh mana para agamawan kita termasuk beberapa pemimpin parti politik yang mengaku Islamik, cukup memahami hakikat skandal 1MDB ini dengan adil? Ini kerana ada di kalangan mereka mahu memberi pendapat berkenaan isu ini kepada khalayak umum. Adakah mereka baca dan faham dengan teliti perkembangan kes 1MDB ini di luar negara? Adakah mereka sedar kesan kehilangan wang negara dalam jumlah besar tersebut terhadap status kewangan dan ekonomi negara? Tidakkah mereka tahu apa maksudnya INTEGRITI dalam ajaran Islam?

Golongan asatizah (agamawan) yang mahu mengulas isu ini sama ada secara langsung atau tidak langsung perlulah FAHAM asal muasal bisnes 1MDB ini dan kenapa ia melencong hingga menjadi kes jenayah peringkat antarabangsa yang cukup terkenal hingga melibatkan artis Hollywood serta model terkenal dari Australia.

Mereka perlu tahu kegiatan anak Rosmah di USA dalam bidang perfileman, hubungannya dengan kapitalis bernama Jho Low serta beberapa watak Pak Arab korup yang semuanya ada kaitan dengan WANG dari 1MDB yang bocor/ dicuri untuk digunakan dalam pembiayaan filem Hollywood yang ada adegan lucah, pembelian hartanah mewah serta pembayaran untuk aset-aset mahal milik individu seperti berlian warna merah jambu oleh isteri M01 (Pegawai Kerajaan Nombor 1 Malaysia).

Tidakkah para agamawan kita terfikir bahawa skandal 1MDB ini boleh memberi imej buruk terhadap Islam itu secara tidak langsung kerana watak-watak utama yang terpalit dengan skandal tersebut merupakan mereka yang mengaku Muslim malah pernah mengaku pula Pahlawan Melayu/ Bugis di pentas politik?

Orang bukan Islam terutamanya warganegara Malaysia sedang mengikuti perkembangan skandal ini, dan rata-rata mereka

tahu bahawa pemimpin negara ini yang berlabel Melayu-Islam tersebut cukup korup walaupun seringkali berbicara mengenai Islam secara terbuka tanpa segan silu. Ia memberi gambaran bahawa mereka yang mengaku Islam tetapi korup tersebut selesa hidup dalam hipokrasi, tanpa ada perasaan malu dan takut kepada Tuhan atas perbuatan mereka menyalahgunakan wang rakyat untuk keuntungan peribadi dan anak beranak mereka.

Atas dasar ingin mengembalikan keadilan, maruah serta usaha untuk memperbetulkan segala salahlaku dalam sistem pentadbiran negara yang menjurus kepada berlakunya skandal 1MDB tersebut, maka mantan PM Malaysia, Tun Dr. Mahathir bersama rakan-rakan seperjuangannya melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengambil risiko menongkah arus dalam politik nasional bagi mengelakkan Malaysia dari terus menghala ke arah kebangkrapan dan bencana sosio-ekonomi. Ingat, kesejahteraan negara majmuk ini banyak bergantung kepada tahap "kesihatan" ekonominya.

Dr. Muhammad Faiz Bin Na'aman
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
EXCO ARMADA Nasional
Parti Pribumi Bersatu Malaysia

PEMIMPIN ZALIM, SALAH SIAPA...?

Oleh. ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR

1. Sejarah menyaksikan, jatuh bangun Daulah Islamiyyah atau Kerajaan Islam sejak dari Bani Umayyah, Abasiyyah dan Uthmaniah dipenuhi liku-liku lumrah kepimpinan dengan ada terdiri dalam kalangan pemimpin 'HOLISTIK' yang adil dan pengasih pada yang dipimpinnya seperti Khalifah Umar Abdul Aziz, Khalifah Harun Al-Rashid dan Sultan Muhammad Al-Fateh dan ada pula yang disebaliknya sehingga menyaksikan kejatuhan setiap empayar yang 'kononnya' berdiri atas nama Islam itu sendiri.

2. Sejarah Empayar Melayu juga menyaksikan hal yang sama kerana itu dikatakan 'lumrah'. Empayar Melayu Melaka sebagai contoh dari pasak penubuhannya melalui Islam-nya Melaka pada tahun 1414 setelah pernikahan Parameswara dengan anak Raja Daerah Perlak iaitu Puteri Ratna telah menampakkan peranan Raja-Rakyat yang ditunjangkan Iman, Islam dan Ihsan.

3. Sejak itu (Parameswara) telah menyaksikan jatuh bangun Melaka yang adil kepada 'marga'nya dengan menyaksikan lahir pemimpin hebat seperti Sultan Alauddin Riayat Shah dan Sultan Mansur Shah yang mempunyai nilai (diri-peribadi) yang baik bersulan keimanan dan ketaqwaan kepada ALLAH SWT membawa kepada terjemahan dari aspek pentadbiran kepada rakyat dan negara.

4. Sesungguhnya bak kata pujangga Melayu, ada nashkah klasik yang memetik bahawa kata-kata ini adalah kata-kata dari Laksamana Hang Jebat, “Raja (Pemimpin) Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah!” demikian juga sepertimana sabda Rasul SAW, “Makhluk yang paling dicintai Allah adalah imam (pemimpin) yang adil, sedangkan yang paling dimurkai adalah imam yang jahat.”

5. Aspek kepimpinan dalam membentuk masyarakat adalah penting, begitu juga peranan masyarakat dalam memilih kepimpinan bagi membentuk masyarakat itu kembali, kerana kelak yang akan dipimpin dan menerima kesan kepimpinan itu adalah rakyat itu sendiri, oleh itu peranan rakyat atau yang dipimpin itu besar impaknya. Firman Allah SWT ; “Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan.” (Al-An’am: 129)

6. Al-Alusi menjelaskan mengenai penafsiran ayat ini dengan ungkapan, “Apabila rakyat zalim, Allah akan meletakkan orang zalim pula berkuasa keatas mereka.” Hal yang sama juga disebutkan oleh Al-Qurtubi, “Bila Allah SWT redha kepada suatu kaum, Dia meletakkan urusan kaum itu kepada orang yang terbaik di antara mereka. Bila Allah murka kepada suatu kaum, Dia meletakkan urusan mereka kepada orang yang terburuk.”

7. Ibnu-Qayyim juga melihat hal yang sama dalam mentafsirkan ayat 129 dari surah Al-An'am. Beliau mengatakan, “Perhatikanlah hikmah-Nya tatkala Dia menjadikan para raja, penguasa dan pemegang tampuk pemerintahan sesuai dengan amalan yang dilakukan oleh para rakyat di dalam negeri tersebut. Bahkan, amalan para rakyat akan tercermin dari tingkah laku para penguasanya.”

8. Hari ini di Malaysia, dalam kita selaku rakyat terkesan dengan  kepimpinan yang begitu menindas, kita juga harus melihat dan menilai sejauh mana peranan kita selaku rakyat dan peranan sesama masyarakat sendiri dalam sama-sama membentuk sebuah negara yang didambakan dari perspektif hala tujunya termasuk bukan sahaja aspek pembangunan materi dari segi material atau kebendaan malah sudut pembangunan insani dan semestinya rohani sebagai tunjang.

9. Diriwayatkan dari Anas ra, dia berkata: Rasulullah Saw pernah bersabda, "Tolonglah saudaramu yang berbuat zalim atau dizalimi". Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, kami memang harus menolong orang yang dizalimi, tetapi bagaimana kami harus menolong orang yang berbuat zalim?" Rasulullah Saw bersabda: "Cegah dia dari perbuatan zalim."

10. Lantas jika dinilai dalam keadaan semasa negara, dengan bebanan yang sebegitu berat dikenakan ke atas rakyat dengan cukainya yang tidak adil, sedang hasil tidak tahu kemana tanpa makluman pengurusan wang iaitu audit yang tidak diwar-warkan atau kemungkinan langsung tiada audit (audit dirahsiakan, penipuan dsbnya) dalam urusan kos operasi dan belanja para pimpinan tinggi negara yang sebegitu boros dan rakus. Lihat kembali sejauh mana kesanggupan rakyat untuk benar-benar menentang kemungkaran yang ada!?

11. Rakyat khususnya dalam kalangan Melayu-Islam hari ini sanggup bergelumang dengan dosa pemerintah yang nyata apatah lagi dari para pendokong rasuah dalam kalangan penyokong Najib Razak di dalam UMNO!

12. Antara yang jelas apabila ketara berlaku pembaziran dari sudut perbelanjaan oleh kerajaan Malaysia di bawah Najib Razak hingga menyaksikan hutang negara kesan dari defisit atau lebihan belanja telahpun memperlihatkan peningkatan drastik mencecah RM900Bilion. Jumlah yang memberi kesan kepada rakyat sehingga terbeban dan memperlihatkan peningkatan kos sara hidup.

13. Dalam pada itu ditambah lagi dengan GST sebagai contoh, apabila dikenakan cukai yang merupakan hanya cukai tambahan. Sedang cukai pendapatan yang berperanan selaku percukaian utama kini telahpun mencecah 48% hasil pendapatan negara (tidak dicampur cukai-cukai lain cth: cukai pelancongan, import-eksport, keuntungan petroleum dll), keuntungan yang nyata tinggi dan cukup bagi menampung kos operasi negara. Namun hari ini rakyat masih lagi terbeban.

14. Bajet pendidikan, kesihatan dan makanan dikurangkan! Biasiswa RM700juta JPA ditarik, Felda mengalami kerugian dengan rizab RM4.5Bilion hanya tinggal kira-kira RM200juta sahaja, pendidikan tinggi masih berbayar, pengangguran semakin meningkat, negara masih bergantung kepada pekerjaan berpaksikan buruh tanpa prasarana untuk membantu graduan dalam menghasilkan peluang pekerjaan aras tinggi, harga barang semakin meningkat, gaji minima masih lagi rendah!

15.  Bayangkan ini semua berlaku dalam hakikat dikenakan GST sebagai cukai tambahan yang menurut laporan media telahpun mencapai untung bersih mencecah RM39Bilion jadi di mana hasil segala keuntungan ini?

16. Lebih menyedihkan GST ini dikenakan sedang percukaian hasil kepada golongan atasan dikurangkan lalu rakyat kebanyakkan di segenap peringkat apatah lagi yang susah dikenakan GST! Di manakah keadilannya?

17. Ini tidak dicampur dengan perencanaan pembangunan harta tanah oleh pemaju-pemaju asing  yang nyata tidak mampu dimiliki oleh kebanyakkan rakyat tempatan termasuk projek-projek mega yang akhirnya akan rugi dan terpaksa hanya menampung kos penyenggaraan dan utiliti. Kerana apa? Kerana jurang kemiskinan yang semakin tinggi yang membawa kepada tiada kuasa membeli. Tidak dicampur keyakinan pelabur yang semakin rendah terhadap kepimpinan negara yang turut memberikan kesan pada kejatuhan nilai ringgit.

18. Dalam pada itu, kepimpinan negara masih lagi mampu senang lenang berlibur dengan berbelanja besar di Bali menginap di hotel mewah puluhan ribu USD sedang rakyat terus menderita, ada pada kita yang kenal erti cuti pun susah apatah lagi mahu ke luar negara terpaksa bertungkus lumus terus bekerja. Namun mereka-mereka ini terus-menerus bersenang-lenang berdiri dan menginjak-injak atas kesusahan rakyat!

19. Itu baru sahaja berkisar pada pembangunan materi dan insani, belum lagi masuk hal berkaitan pembangunan rohani. Nah! Jika sebuah kerajaan yang nyata seringkali terpalit dengan perlakuan rasuah! Ditambah lagi dengan penemuan-penemuan terkini seperti saman DOJ sebagai contoh, bagaimanakah Najib Razak layak menjadi pemimpin yang mampu membangunkan unsur 'spiritual' atau kerohanian untuk mengajak ke arah kebaikan sedang perlakuan kemungkaran nyata dilakukannya dan mencalar segenap aspek pembangunan ummah dan insan!

20. Maka peranan antara pemimpin dengan rakyat dan juga rakyat ke atas pemimpin malah sesama masyarakat (rakyat) itu sendiri akan terus berkisar dengan hal-hal kemungkaran, apatah lagi bila ada rakyat malah masih dalam jumlah yang besar sanggup mempertahankan kemungkaran atau kesalahan yang nyata (penyokong UMNO-Najib Razak), demi kelangsungan wang kocek sendiri dan kepentingan-kepentingan peribadi. Atas alasan pengekalan kuasa Melayu dan 'Islam'.

21. Lalu rakyat terus dibiarkan tercari-cari dan fokus nyatanya hanyalah kepentingan duniawi, sedang pemerintah di bawah UMNO-BN terus menakut-nakutkan rakyat konon hasil untung  budi tanah ini semuanya adalah kerana UMNO! Jadi kita terus tenggelam punca, keimanan entah diletakkan di mana?

22. Adakah Islam mengajar penganutnya melakukan kemungkaran demi pengekalan kuasa itu sendiri? Lantas kita jangan lupa akan sunnatullah. Ketika sultan-sultan Uthmaniah dan para penguasanya tergelincir jauh dari syariat Allah dan rasulnya. Kekhilafahan Uthmaniah yang terbentang luas dari seluruh tanah Arab membawa ke India sehingga wilayah Balkan di Eropah merentas ke Afrika dan Asia Timur akhirnya bercerai-berai akibat 'LALAI dan LUPA' kerana termakan dengan fatamorgana dunia.

23. Sebegitu jugalah Daulah Islamiyyah sebelum-sebelumNya, Allah menggantikan tampuk kekuasaan dari satu empayar kepada empayar yang lain apabila mereka terus lalai dan lari pada jalanNya. Sesungguhnya inilah hukum alam aturan pencipta yang maha Esa.

24. Malaysia dengan seluruh isinya khusus dalam kalangan Melayu-Islam harus bangkit dalam melakukan satu revolusi yang bukan sahaja akan membawa kepada keuntungan materi, namun fokus ke arah pembangunan rohani yang akan membawa pada keuntungan hakiki, ukhrawi dan duniawi. “Kita jaga DIA, DIA lebih jaga kita!”

25. Bercakap soal revolusi, inilah masanya kebangkitan ummah Melayu-Islam untuk menentang segenap kemungkaran, dan kita lakukan dari sekarang dan tekad untuk berpegang pada jalanNya. Apa yang kurang kita sama perbaiki. Sesungguhnya Al-Quran adalah penyuluh alam.

26. Cakap sahaja bab Demokrasi, Keadilan, Sosialis, Kesamarataan dan segenap hal pemikiran manusiawi semuanya terkandung dalam Al-Quran. Hanya itulah jalan kita membangun ummah dan Malaysia ke arah yang lebih baik dan semestinya tanpa sedikitpun ketidak-adilan atas kaum mahupun agama lain kerana Islam adalah jalan sejagat penyelesaian ke atas segala kemaslahatan. Tiada rasisme dalam Islam! Hanyalah kebenaran dan kecintaan.

27. Saya yakin, rakyat Malaysia umumnya dahagakan perubahan, percayalah kita semua harus sama bergandingan. Dalam masa yang sama saya turut menyeru seluruh ahli Parti Pribumi BERSATU Malaysia (PPBM) untuk kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Bimbinglah jiwa kita sama-sama ke arah kebenaran, binalah suatu jalan politik baharu yang berteraskan Iman, Islam dan Ihsan. Kita jadi contoh kepada segenap masyarakat dan komponen parti segandingan yang lain. Bukan lagi politik yang selalu dicanang akan 'keji' dan 'kotor' permainannya. Apa yang kurang kita sama perbetulkan dengan hikmah dan kasih sayang.

AYUH LAKUKAN PERUBAHAN. MALAYSIA INI TANGGUNGJAWAB KITA.
BERSATU BERAMANAH BERMARUAH.

2017/06/28

KHALID ABU BAKAR SAMPAI BILA NAK SIASAT KES SKANDAL 1MDB?!

NEGARA-NEGARA LUAR SUDAH DAPAT BUKTI-BUKTI SECARA KOMPREHENSIF!!

Saya amat hairan dengan sikap ketua polis negara yang menyatakan kononnya peguam negara suruh pdrm siasat lagi kes skandal 1mdb secara lebih mendalam!!

Pada bulan disember 2014 saya mula buat laporan polis keatas kes skandal 1mdb ini. Dah hampir 3 tahun masih lagi belum selesai siasatan?!

Tapi kenapa negara-negara luar yang saya buat laporan seperti singapura, switzerland, amerika syarikat, hong kong, peranchis serta united

Sebagai pelapor pada pdrm yang pertama maka dengan ini saya memohon pencerahan dari khalid abu bakar samada pdrm sudah pun menyiasat najib tun razak, rosmah mansor, jho low, riza aziz serta keseluruhan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat 1mdb?!

Semua penama-penama ini sudah dipanggil untuk proses siasatan ataupun belum?!

Kalau khalid abu bakar kata siasatan belum selesai; macamana beliau kata saya ditangkap pada tahun 2016 kerana cuba sabotaj ekonomi negara?!

Untuk pengetahuan ketua polis negara saya masih menyimpan semua laporan-laporan media mengenai tuduhan-tuduhan serta fitnah-fitnah beliau yang tidak berasas keatas diri saya secara teramat baik!!

Malahan pdrm telahpun sumbat saya ke dalam lokap serta penjara sg buloh selama 2 bulan!!

Insya-Allah dengan izin Allah swt saya akan berhadapan dengan ketua polis negara serta peguam negara di kamar mahkamah dalam sedikit masa lagi.

Keseluruhan rakyat malaysia mesti memberi kemenangan pada Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan baru malaysia selepas pru14 nanti!!

Pada waktu itu kita tahulah apakah bentuk tindakan undang-undang yang paling sesuai untuk dikenakan kepada keseluruhan penjawat awam yang tidak beretika dan tidak amanah ini!!

Dengan izin Allah swt kebenaran pasti muncul juga akhirnya dan pada waktu itu sama-samalah kita lihat di mana mereka akan berada di atas segala pengkhianatan yang dilakukan pada bangsa, agama dan tanahair!!

Tanpa kompromi dan mempunyai sedikit pun perasaan simpati; semua penyangak-penyangak yang mengkhianati rakyat malaysia mesti dihukum secara tegas, adil serta saksama pada waktu itu!! Insya-Allah!! Amin yarabbal alamin!!

Ikhlas dari;
KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Koordinator
Deklarasi Rakyat

P.PINANG TOLAK PERMOHONAN MEMBINA KASINO DI NEGERI INI


Credit : Chris Nur II

Kerajaan negeri Pulau Pinang bukan saja menolak permohonan untuk membina kasino di negeri ini malah kedai2 mesin judi juga telah di arahkan di tutup.

Berikut adalah kenyataan Ahli Parlimen Bukit Mertajam YB Steven Sim Chee Keong 沈志强

"Berita baik daripada PDRM berikutan penyerahan laporan kedai judi ke-2 oleh #TeamBukitMertajam, 90% premis yang kita senaraikan sudah ditutup, selebihnya tidak dapat dikesan dan ada yang disahkan bukan kedai judi. Tangkapan dan rampasan mesin juga telah dibuat oleh pihak polis..

Syabas PDRM.

Ini merupakan laporan oleh PDRM semasa Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri pada 22 Jun 2017.

Kita tak tahu sejauh mana aktiviti judi di BM telah dihapuskan tapi setakat ini, sekurang-kurangnya mengikut laporan polis tersebut kita boleh meraikan kemenangan kecil terhadap kempen melawan aktiviti judi di BM.

Lepas Raya, kita akan terus lawan lagi.

#ILoveBM #ILovePenang #UntukNegeriKita

Skandal BMF Mukhriz Mahathir Jawab Tuduhan Terhadap Ayahnya


MEDIA pengampu Barisan Nasional seperti TV3 dan Utusan Malaysia, hangat mengulang-ulang isu berkaitan Skandal BMF (Bank Bumiputera Finance) yang berlaku lebih 30 tahun lalu, untuk menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir yang kini menjadi pengkritik nombor 1 skandal Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak.


Berbekalkan laporan siasatan CIA yang didedahkan baru-baru ini, media arus perdana kawalan BN (sebut Barang Naik) pagi petang siang dan malam tak henti-henti mengaitkan Tun Mahathir dengan skandal BMF.

Baru-baru ini, anak Tun Mahathir, Dato Seri Mukhriz tampil menjawab isu skandal tersebut ketika ditanya dalam sesi soal jawab bersama penduduk Kampung Pinang, Pedu di Kuala Nerang Kedah.

Menurut Mukhriz, skandal BMF meletup pada bulan 4 atau bulan 5 tahun 1981 dan pada waktu itu ayahnya, Dr Mahathir belum lagi menjadi Perdana Menteri, (PM) Malaysia, kerana ayahnya mula mengangkat sumpah jawatan PM pada bulan 7 tahun 1981.

"Seperti mana yang kita tahu Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri tahun 81 jadi kes ini (skandal BMF) meletup pada bulan 4 ke bulan 5 tahun 81, Tun Mahathir angkat sumpah jadi Perdana Menteri bulan 7 tahun 81 jadi dia tak dan (tak sempat) bukan zaman dia," katanya.

Menurut Mukhriz lagi, Menteri Kewangan Malaysia pada masa meletupnya kes BMF adalah Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Daim Zainuddin hanya mula menjawat jawatan itu dalam tahun 1984.

"Lepas tu menteri kewangan sebab ini melibatkan bank bumiputera menteri kewangan pada waktu itu Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Daim hanya ambil alih tahun 84," katanya.

Namun tambah Mukhriz lagi, Tun Mahathir sebagai ketua negara pada masa itu tetap mengambil tanggung jawab terhadap skandal tersebut.

"Tak apalah walaupun benda itu (skandal BMF) berlaku sebelum zaman tun tapi bila dia jadi Perdana Menteri dia pun bertanggungjawab sebagai ketua negara..." Katanya lagi.

Merujuk kepada laporan hasil siasatan CIA yang didedahkan kepada masyarakat umum, Mukhriz menyebut bahawa di muka surat 4 dokumen tersebut secara jelas menyatakan bahawa perdana menteri tidak terlibat dalam skandal tersebut.

"Tapi kalau baca betul-betul laporan CIA tu, terang-terang disebut dalam muka surat 4, dalam banyak-banyak muka surat panjang lebar lah cerita tu, tapi dalam muka surat 4 tu, dah disebut bahawa mereka siasat dan mendapati perdana menteri tak terlibat, tidak terlibat dalam kes BMF ini," katanya.

PERDANA MENTERI PERLU MEMBENTANGKAN KERTAS PUTIH ISU 1MDB DI DEWAN RAKYAT..

KENYATAAN MEDIA

Dakwaan terbaru yang terkandung di dalam pemfailan ketiga Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat membuka lembaran baru kemelut yang melanda negara akibat daripada skandal penyelewengan dana 1MDB.

Kami, selaku pimpinan dan Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang Malaysia menuntut Perdana Menteri dan pihak kerajaan bercakap benar dan hadir ke Parlimen menjawab semua dakwaan mengenai isu ini.

Maka, kami mengulang kembali gesaan Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bahawa Perdana Menteri harus memanggil sidang tergempar Dewan Rakyat sesegera yang mungkin sepertimana yang terkandung di dalam peraturan 11(3), peraturan-peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Kami juga mendesak Perdana Menteri membentangkan sebuah kertas putih mengenai dakwaan skandal penyelewengan dan 1MDB pada sidang tergempar parlimen, demi menjelaskan fakta-fakta daripada kerajaan. Fakta-fakta ini harus menjawab segala kemusykilan rakyat yang ditimbulkan.

Kenyataan sesetengah menteri bahawa segala dakwaan adalah bermotif politik atau campur tangan asing tidak mencukupi untuk menangkis segala persoalan yang ditimbulkan. Jika kerajaan tidak mahu rakyat terbawa-bawa oleh dakwaan DoJ, maka kerajaan harus menjawab segala dakwaan tersebut dengan membentangkan laporan siasatan daripada institusi-institusi siasatan negara melalui Kertas Putih di parlimen.

Kami menggesa agensi-agensi berwajib seperti Jabatan Peguam Negara, SPRM, BNM dan PDRM untuk membuka kembali kertas siasatan. Nama baik negara dimalukan apabila sekurang-kurangnya 9 negara menjalankan siasatan terhadap skandal ini. Namun kertas siasatan ditutup oleh semua agensi berwajib Malaysia.

Justeru itu, kami akan mengambil langkah-langkah berikut:

1.     Mendesak Perdana Menteri mengadakan sidang tergempar Dewan Rakyat sesegera yang mungkin dan membentangkan Kertas Putih Berkenaan 1MDB.

2.     Membuat laporan bersama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

3.     Membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) serta menuntut supaya kertas siasatan dibuka semula.

4.     Jelajah ke seluruh negara penerangan terkini isu skandal penyelewengan dana 1MDB. Jelajah pertama akan diadakan pada 6 Julai 2017 di Dewan JKKK Penaga, Kepala Batas bermula jam 9 malam. Jelajah ini akan dijalankan ke seluruh negara dan berakhir dengan sebuah perhimpunan rakyat pada bulan September.

5.     Mewujudkan sebuah Jawatan Kuasa Tindakan 1MDB (1MDB Action Committee) yang akan merangka strategi dan respon pembangkang terhadap isu 1MDB ini.

Kami juga menyeru kesemua parti-parti pembangkang untuk mengenepikan segala perbezaan dan berkerjasama serta bersatu tenaga untuk membawa mereka yang terlibat di dalam skandal penyelewengan dana 1MDB ke muka pengadilan.

Menurut dokumen mahkamah, jumlah dana 1MDB yang didakwa diselewengkan telah mencecah hampir USD 4.47 bilion (RM19.15 bilion). Maka Perdana Menteri, kerajaan persekutuan dan agensi-agensi berwajib tidak boleh lagi berdiam diri mengenai isu ini. Tumpuan harus diberikan untuk membersihkan nama negara dan menyelesaikan kemelut yang melanda yang diakibatkan oleh skandal penyelewengan 1MDB.

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Pembangkang (KEADILAN)

YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh (DAP)

YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam (AMANAH)

YB Dr Michael Jeyakumar, Ahli Parlimen Sg Siput (PSM)

YB Darell Leiking, Ahli Parlimen Penampang (WARISAN)

Dato’ Dr Rais Hussin, wakil PPBM

28 Jun 2017

#PPBM
#BERSATU
#BERAMANAH
#BERMARUAH

BERLIBUR DI BALI, PERDANA MENTERI MALAYSIA "NGINAP" DI KAMAR RAJA SALMAN.

LANTAK DIA LAH

Credit: Shukur Tan Sri Mohamad

Adakah St Regis di Nusa Dua Bali itu kepunyaan Peter Sondakh❓❓❓

Siapakah Peter Sondakh❓❓❓❓❓ , beliau adalah pemilik PT Eagle High yang menjual sahamnya kepada Felda dengan harga yang jauh dari harga pasaran semasa , dan juga pemilik St Regis Langkawi secara percuma atas budi bicara Najib Razak.

Penginapan yang di inap oleh Najib Razak itu adalah sama dengan penginapan Raja Salman ketika bercuti di Bali dahulu.

*PERSOALANNYA* :

Siapa lagi yang berada di dalam rombongan *PERDANA MENTERI MALAYSIA* itu sehingga menempah 41 unit *PRESIDENTIAL SUITE* yang berharga RM35,000.00 seunit untuk sehari selama 5 hari❓❓❓❓❓❓❓❓

*PERSOALAN KE 2* :

Adakah percutian itu *_menggunakan_* wang kerajaan ( *wang rakyat* )

*ATAU*

percutian itu *DI TAJA* oleh *PETER SONDAKH*.

Jika jawapannya adalah menggunakan wang rakyat maka *RAKYAT WAJIB _MENOLAK_* BN / UMNO dalam PRU akan datang ini , *KERANA* jumlah sebanyak *RM 7,175,000.00 ( tujuh _juta_ seratus tujuh puluh lima ribu* ) wang rakyat telah di bazirkan dengan *JAYANYA*.

DAN JIKA JAWAPANNYA PERCUTIAN ITU _DI TAJA_ OLEH *PETER SONDAKH* , maka *RAKYAT WAJIB WAL JIDAN-JIDAN* menolak tanpa ada belas ikhsan BN / UMNO di dalam PRU akan datang ini kerana kerajaan telah membazirkan wang rakyat sebanyak lebih *DUA RATUS JUTA RINGGIT* dalam pembinaan *HOTEL ST REGIS LANGKAWI* yang mana akhirnya di miliki oleh *PETER SONDAKH* melalui pembiayaan kerajan , dan *PERCUTIAN ITU ADALAH PERCUTIAN RASUAH* , SPRM tidak akan membuat apa-apa , maka rakyat *WAJIB BANGKIT* menolak kerajaan yang ada hari ini tanpa was-was.

Rakyat kena sedar dan jangan takut , pertukaran kerajaan dari sedia ada kepada kerajaan yang baru itu nanti tidak akan menggugat sedikit pun *HAK MELAYU*  , kerana jika BN / UMNO kalah :

🚨 PERDANA MENTERI BARU ITU NANTI MASIH TETAP MELAYU.

🚨 AGAMA ISLAM MASIH TETAP LAGI AGAMA RASMI.

🚨 BAHASA KEBANGSAAN MASIH TETAP LAGI BAHASA MELAYU.

🚨 RAJA-RAJA MELAYU MASIH TETAP BERSEMAYAM DI SINGGAHSANA.

*

2017/06/27

SAMAN BUKAN PENGHALANG MEMPERBAHARUI CUKAI JALAN KENDERAAN SERTA LESEN MEMANDU

.

Utusan Malaysia 7 Mac 2011 ISU SAMAN EKOR - MAHKAMAH, melalui kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak tahun 2009 telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di mahkamah.
Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan.

JPJ juga telah diarahkan membayar ganti rugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.

Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan.

Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.
Berbalik kepada tawaran kerajaan memberikan diskaun pembayaran saman.
Ingin dimaklumkan bahawa tindakan ini tetap salah. Isu utamanya ialah bukan jumlah bayaran kompaun atau denda itu RM300 atau RM150 atau pun RM50. Isu utamanya adalah, adakah seseorang itu benar-benar melakukan kesalahan yang didakwa sehingga mereka wajib membayar denda?
Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak.

Jika ada yang tertunggak maka ia bukan saman. Saman hendaklah dikemukakan di mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan saman dan diperintahkan hadir ke mahkamah untuk menjawab saman itu.

Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap supaya OKS hadir mahkamah.

Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mengakui kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku maka akan diarahkan supaya bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak. Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan untuk bayar denda. Selesailah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput juga saman itu. Tidak tertunggak.

Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana saman-saman itu tidak pernah dibawa ke mahkamah. Kedua kerana yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja.

Saman ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang dikatakan memandu melebihi had laju.

Notis ini juga disertakan tawaran kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan. Ia dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau dikenali dengan Notis Pol 170A. Jika pemilik tidak mengaku kesalahan maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran.

Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya hadir ke mahkamah bagi menjawab tuduhan memandu melebihi had laju.

ZULHAZMI SHARIFF

Penasihat Undang-Undang
Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

http://www.utusan.com.my/

JAWAPAN MUDAH BUAT PRESIDEN PAS MENGENAI ISU CAMPUR TANGAN ASING..



2. Saman sivil yang  oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dibuat di negara tersebut dimana dipercayai melanggar undang2nya.

2. Individu yang dinamakan dalam saman tersebut juga adalah mereka yang sering berurusan di negara berkenaan. Undang2 negara tersebut pastinya patut dipatuhi oleh semua yang berurusan disana.

3. Jadi, tidak timbul soal campurtangan asing dalam negara ini. Mereka tidak datang ke negara kita dan menangkap warganegara kita. Mereka tidak failkan saman dalam mahkamah di negara kita.

4. Bukan juruaudit Amerika yang akan datang ke Malaysia untuk mengaudit 1MDB.

5. Saman mereka ke atas individu tersebut juga dengan hasrat untuk merampas harta yang dipercayai dicuri dari khazanah milik negara dan akan dipulangkan kepada kita.

6. Saya harap Presiden PAS ini lebih baik fokus pada perjuangan parti tersebut dari kelihatan sibuk untuk mempertahankan UMNO dan 1MDB, melainkan beliau juga ada kepentingan diatasnya.

7. Dulu sewaktu UMNO dipimpin oleh mereka yang tidak merosakkan imej dan reputasi negara, PAS bermati-matian menentangnya. Kini UMNO dipimpin oleh mereka yang didakwa korup dan merosakkan imej negara, PAS datang untuk bersama.

8. Saya menyeru ahli akar umbi PAS untuk mendesak Presiden mereka kembali kepada fitrah perjuangan asal mereka yang mana saya lihat Presiden PAS seolah2 cenderung menyokong UMNO.

Azmi Murid
Lumut Perak
24 Jun 2017

http://www.ismaweb.net/2017/06/hadi-awang-tolak-campur-tangan-asing-dalam-isu-1mdb/

2017/06/26

1MDB: Adakah Ianya Campurtangan Amerika? Mari Kita Fikirkan Secara Objektif

Dr Radzi Jidin, Pensyarah Pengauditan dan Perakaunan Forensik [Untuk FB Page Bicara Malaysia]

Nota: Kongsikanlah apa yang ditulis dengan rakan-rakan. Janganlah mudah menerima hujah bahawa ianya campurtangan asing tanpa memahami konteks tindakan Amerika tersebut. Disiarkan kali pertama pada 23 Julai 2016 dan diedit untuk siaran 26 Jun 2017.

1. Secara peribadi, saya amat tidak bersetuju dengan dasar campurtangan Amerika Syarikat di negara-negara lain di dunia ini. Ianya sekadar menyerlahkan sikap mereka yang cuba menjadi Sherif dunia.

2. Apatah lagi sebarang campurtangan di tanahair tercinta, Malaysia.

3. Selepas Jabatan Keadilan Amerika mengeluarkan tuntutan terhadap aset-aset yang dibeli menggunakan wang 1MDB, jentera propaganda BN memainkan sentimen bahawa tindakan tersebut adalah satu campurtangan Amerika dalam urusan Malaysia. Selepas setahun berlalu, propaganda ini terus dimainkan sehingga ke hari ini, terutamanya di musim perayaan ini.

4. Penggunaan propaganda seperti ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana pihak yang menyebarkan propaganda sedar bahawa isu 1MDB adalah satu isu yang kompleks dan sukar difahami.

5. Oleh itu, penggunaan propaganda bahawa ianya adalah satu campurtangan Amerika Syarikat adalah satu strategi mudah bagi mengalihkan perhatian rakyat kepada isu sebenar.

6. Tindakan Jabatan Keadilan Amerika tersebut bukanlah satu campurtangan dalam urusan Malaysia. Sebaliknya ianya adalah usaha untuk mempertahankan tadbir urus sistem kewangan mereka.

7. Dari tuntutan Jabatan Keadilan Amerika tersebut jelas bahawa wang yang disalur keluar dari 1MDB telah melalui sistem kewangan Amerika Syarikat. Wang ini digunakan untuk membeli pelbagai jenis aset termasuklah hartanah dan kapal terbang peribadi.

8. Perlu diingat, wang tersebut bukannya dibawa menggunakan kapal, lori atau kapal selam. Sebaliknya ia telah disalurkan melalui sistem perbankan dan kewangan Amerika.

9. Transaksi melalui sistem perbankan adalah transaksi yang paling mudah dikesan. Ianya akan meninggalkan jejak audit yang boleh diikuti dari mula wang tersebut melalui sistem perbankan sehingga ianya digunakan.

10. Dalam kes aset-aset yang disebut oleh Jabatan Keadilan Amerika, tentunya pembelian aset-aset ini tidak dibuat dengan menggunakan wang tunai yang dibawa dengan lori atau kapal. Sebaliknya ianya menggunakan pemindahan elektronik atau menggunakan instrumen kewangan seperti cek atau kad kredit.

11. Penggunaan sistem perbankan dalam setiap urusniaga memudahkan penyiasatan oleh pelbagai pihak, termasuklah agensi-agensi kerajaan Amerika. Mereka tidak perlu merujuk kepada 1MDB untuk mengetahui pergerakan wang di dalam sistem kewangan Amerika. Ini kerana, apabila wang tersebut disalur keluar dari akaun 1MDB kepada pihak lain (yang bukan entiti 1MDB), maka pergerakan wang tersebut boleh dijejaki dengan mudah walaupun tanpa bantuan 1MDB.

12. Sejarah telah membuktikan bahawa Amerika Syarikat sentiasa berusaha keras untuk mempertahankan ketelusan dan tadbir urus sistem kewangan dan korporat mereka.

13. Dalam salah satu kes penyelewengan korporat terbesar di Amerika iaitu skandal Enron yang terdedah pada tahun 2001, CEOnya Jeffry Skilling telah didapati bersalah dan dipenjarakan selama 24 tahun (sebelum dikurangkan kepada 14 tahun).

14. Selepas skandal Enron, kerajaan Amerika Syarikat telah melakukan perubahan besar-besaran kepada sistem kewangan dan korporat mereka.

15. Satu undang-undang baru, Sarbanes-Oxley Act diperkenalkan pada tahun 2002. Akta ini adalah antara perubahan terbesar yang pernah dibuat kepada sistem tadbir urus korporat dan kewangan Amerika Syarikat.

16. Pada tahun 2008 pula, bekas Pengerusi Bukan Eksekutif NASDAQ yang juga pengasas Madoff Investment Securities telah ditangkap kerana didapati bersalah menganjurkan skim cepat kaya terbesar di Amerika. Beliau telah dihukum penjara untuk 150 tahun! Perlu diketahui bahawa Madoff juga seorang Yahudi.

17. Selepas krisis kewangan Amerika yang bermula pada tahun 2008, kerajaan Amerika memperkenalkan Dodd Frank Act pada 2010. Ianya merupakan perubahan paling besar kepada undang-undang dalam sistem kewangan Amerika sejak Great Depression.

18. Contoh-contoh di atas menunjukkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat amat mengambil berat akan ketelusan dan tadbir urus sistem kewangan mereka.

19. Jadi, apabila wang milik 1MDB di salurkan melalui sistem kewangan mereka dan digunakan untuk membeli pelbagai aset peribadi pihak tertentu, maka tentunya pihak berkuasa Amerika akan mengambil tindakan terhadap “kleptocracy” ini.

20. Oleh itu, hujah bahawa tindakan Amerika berkaitan dengan 1MDB adalah satu campurtangan asing dalam ehwal dalaman Malaysia adalah satu hujah yang sempit.

21. Samalah juga tindakan kita mengambil tindakan terhadap rakyat asing yang terlibat dengan jenayah di Malaysia. Ianya tidak bermakna kita campurtangan dalam urusan dalaman negara asal penjenayah tersebut. Kita bertindak kerana mempertahankan keamanan dan ketenteraman negara.

22. Jika kita masih ingat, pada tahun 1986 dua orang rakyat Australia telah dihukum di Malaysia kerana mengedar dadah. Hukuman gantung ke atas Barlow dan Chambers telah menimbulkan ketegangan dalam hubungan diplomatik Malaysia – Australia. Perdana Menteri Australia ketika itu, Bob Hawke membuat kenyataan bahawa hukuman gantung tersebut adalah bersifat “barbarik”. Dr Mahathir, Perdana Menteri Malaysia ketika itu membidas kenyataan Hawke dan menyifatkan hukuman gantung telah lama dahulu dilaksanakan di negara barat. Pemimpin-pemimpin Malaysia ketika itu mempertahankan bahawa adalah hak Malaysia untuk melaksanakan undang-undang di negara sendiri.

23. Oleh itu, tindakan Amerika mempertahankan undang-undang berkaitan sistem kewangan mereka adalah hak negara itu.

24. Jadi, fikirkanlah. Apakah tindakan Amerika tersebut adalah satu campurtangan asing atau satu tindakan yang diambil kerana kebodohan penyagak yang menggunakan sistem kewangan Amerika dengan harapan tiada pihak yang akan dapat mengesannya!!!!!

Sejarah “Down Raid” — Serang Hendap Kuala Lumpur Ke Atas Kota London pada 1981







Kisah benar kejayaan sekumpulan anak Melayu mengambil kembali tanah-tanah di Malaysia yang dipegang Inggeris selama 160 tahun dengan serangan terancang ke atas ibu kota Britain

Oleh: Lela Iskandar Suhaimi

Pada 7 haribulan September tahun 1981, kota London digemparkan dengan pengambilalihan mengejut syarikat perladangan Guthrie di London. Guthrie yang berusia lebih 100 tahun dan merupakan antara syarikat perladangan terbesar British jatuh ke tangan pihak asing di dalam masa 4 jam sahaja.

Apa yang lebih mengejutkan ialah syarikat tersebut jatuh ke tangan kerajaan Malaysia, di bawah pimpinan Dr. Mahathir Muhammad yang baru memegang jawatan Perdana Menteri selama 2 bulan.

Berbeza dari 3 Perdana Menteri sebelum ini, Mahathir dirakamkan oleh ahli sejarah sebagai Perdana Menteri pertama yang tidak merokok, tidak minum arak dan tidak meminati sukan golf. Dan jika pemegang jawatan sebelum beliau berdarah raja, berpendidikan British dan mengekalkan hubungan baik dengan Inggeris, Mahathir pula belajar di Universiti Malaya Singapura, tidak mempunyai rakan berbangsa Inggeris dan terkenal dengan sikap anti-penjajahnya.

Sebelum menjadi Perdana Menteri lagi, beliau mengkritik dasar Inggeris yang membuka Tanah Melayu seluas-luasnya kepada pendatang dari India dan China, sekaligus menyebabkan orang Melayu terpinggir.

2 tahun sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, pihak Inggeris menarik semula subsidi pendidikan kepada pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Britain dan menaikkan yuran kepada pelajar asing, tetapi tidak kepada pelajar Eropah.

Ia memberikan tamparan hebat kepada 17,000 pelajar Malaysia di negara itu yang terbeban dengan yuran pengajian yang meningkat 3 kali ganda secara tiba-tiba. Malaysia juga pada waktu itu tidak mampu menyerap pelajar-pelajar ini kerana ia hanya mempunyai 2 buah universiti.

Mahathir yang ketika itu merupakan Menteri Perdagangan memberi amaran bahwa tindakan ini akan merugikan Britain dalam jangka masa panjang. Namun begitu, amaran beliau tidak diendahkan.

Tidak lama kemudian, London menolak permohonan Malaysia agar syarikat penerbangan MAS diberi hak mendarat tambahan di lapangan terbang Heathrow. Tetapi pada masa yang sama, Inggeris mencabar kewibawaan kerajaan Malaysia apabila sebuah pesawat supersonic Concorde miliknya menceroboh ruang antarabangsa Subang dalam perjalanannya ke Singapura.

Mahathir melihat ini sebagai sikap angkuh British yang masih memperlakukan Malaysia seperti tanah jajahannya.

Keangkuhan British bukan sahaja disedari oleh Mahathir dan ahli-ahli politik Melayu, tetapi turut dirasai oleh penjawat awam seperti pengerusi PNB, Dato Ismail Ali. Secara kebetulan, abang ipar Mahathir ini juga adalah bekas Gabenor Bank Negara yang terlibat menggesa Guthrie menubuhkan Guthrie-Ropel.

Beliau juga adalah antara tokoh utama yang menubuhkan PNB — satu agensi yang ditugaskan khas bagi menjayakan DEB.

Sewaktu menjawat jawatan gabenor Bank Negara lagi, beliau menunjukkan sikap tidak mesra kepada Inggeris. Mark Gent, iaitu pengerusi Guthrie ketika itu berkata, beliau dan pengarah urusan Guthrie, Eric Griffith-Jones hampir pasti akan diarah oleh Ismail Ali untuk “menunggu diluar pejabatnya selama ½ jam” setiap kali mesyuarat diadakan.

Sewaktu Ismail menjadi gabenor juga, wang negara yang disimpan di bank Inggeris seperti HSBC dan Chartered dipindahkan ke bank tempatan. Bank-bank asing pula tidak lagi diberi peluang membuka cawangan di Malaysia.

Seperti Mahathir, beliau juga tidak berpuashati dengan orang Inggeris kerana sungguhpun PNB memiliki 25% saham Guthrie, tiada wakil PNB yang dirujuk dalam mesyuarat untuk menentukan halatuju syarikat. Ini termasuk keputusan Guthrie menjual beberapa kepentingannya kepada MPH, sebuah syarikat koperasi milik hartawan-hartawan Cina di Malaysia pada awal 1981.

Syarikat MPH yang memiliki aset yang banyak ini pernah cuba membeli bank UMBC (iaitu antara bank terbesar negara ketika itu) sehingga menyebabkan Mahathir campurtangan. Agar ia tidak didominasi bangsa Cina, Mahathir memastikan PERNAS dan Petronas juga mempunyai kepentingan dalam UMBC.

Kedua-dua tokoh ini melihat bahawa jika pengambilalihan demi pengambilalihan MPH diteruskan, bangsa Cina semakin hampir mengganti orang Inggeris menguasai ekonomi negara ini.

Atas sebab ini, Ismail membuat keputusan nekad. Guthrie mesti diambilalih secepat mungkin.
Kerjasama Pelbagai Pihak

Setahun sebelum menjadi Perdana Menteri, Mahathir yang merupakan Menteri Perdagangan dan Tengku Razaleigh Hamzah selaku Menteri Kewangan telah di maklumkan oleh Ismail Ali bahawa beliau merancang untuk mengejutkan Inggeris dengan pengambilalihan syarikat mereka.

4 bulan sebelum serangan, pasukan di PNB yang diterajui oleh pengurus pelaburan bernama Khalid Ibrahim diberi tugas khas untuk meneliti dan merangka strategi bagi memastikan semua berjalan lancar.

Khalid yang pernah bekerja di Barings London (iaitu syarikat yang menjadi penasihat kewangan Guthrie), pakar-pakar pelaburan PNB dan penasihat dari bank saudagar N. M. Rothschild & Sons Ltd diarahkan untuk mengkaji secara rahsia samada Guthrie boleh diambilalih. Jika positif, mereka diarahkan merangka strategi terperinci bagaimana ianya boleh dibuat.

Hasil dari penelitian mereka, kumpulan ini menjumpai satu kelemahan dalam akta bursa saham London yang boleh dieksploitasi. Dengan kelemahan ini, satu serang hendap ekonomi untuk mengambilalih Guthrie boleh dibuat. Syaratnya ianya dibuat sepantas dan serahsia mungkin hingga Inggeris tidak sempat melakukan pertahanan.

Dengan persetujuan Mahathir, modal pengambilalihan (sebanyak 282 juta pound) diambil dari tiga punca – Petronas, PERNAS dan menerusi satu skim amanah saham baru yang ditawarkan kepada orang Melayu 4 bulan sebelum serangan. Skim ini dinamakan Amanah Saham Nasional (ASN).

Untuk memastikan Inggeris tidak menyedari bahawa kerajaan Malaysia berada di belakang pengambilalihan ini, Khalid diarahkan oleh Rothschilds untuk membuka bank akaun di Switzerland untuk tujuan pembayaran saham.

Guthrie menjadi sasaran kerana selain dimiliki pelabur Ingeris, saham-saham Guthrie pada waktu itu juga dipegang oleh beberapa syarikat bukan Inggeris yang mesra kepada PNB. Antara syarikat tersebut antaranya adalah Genting, Bank Simpanan Nasional, Kuwait Investment Office dan OCBC.

Dengan pegangan sedia ada sebanyak 25%, PNB memerlukan 15% saham sahaja lagi bagi menjadikan keseluruhan pegangannya ke 40% , sekaligus menjadikannya sebagai pemegang saham utama Guthrie.

Untuk ini, N. M. Rothschild & Sons Ltd dilantik bagi membeli saham Guthrie dari pelabur besar bagi pihak PNB, manakala Rowe & Pittman pula dilantik menjadi broker bagi membeli saham Guthrie dari pelabur-pelabur kecil.

Ideanya di sini ialah agar sebahagian besar saham Guthrie di Malaysia dan di London dibeli serentak sebelum bursa dibuka, dan ia mesti dibeli tanpa disedari oleh pihak pengurusan Guthrie sendiri.

Untuk memastikan kejayaan serangan rahsia ini, hanya sekumpulan kecil perancang sahaja yang terlibat secara langsung. Mohammad Desa Pachi, yang juga Ketua Eksekutif PNB ketika itu juga tidak diberitahu secara terperinci bagaimana operasi ini akan dilaksanakan.

Hari serangan akhirnya diputuskan — 7 September, pukul 9 pagi waktu London (4 petang waktu Malaysia).

Mengikut rancangan, kesemua yang terlibat akan mendapatkan persetujuan penjual-penjual sebelum bursa dibuka. Apabila ia dibuka, PNB akan mengisytiharkan berita menggemparkan ini dan menguruskan dokumentasinya sahaja — sekaligus memberi kejutan kepada Guthrie dan pemegang saham lain.

Yang rumitnya ialah memastikan pembelian ini dilakukan secara rahsia. Kerana jika ia terbongkar awal, harga saham Guthrie bakal melambung tinggi dan pengurusan Guthrie akan bertindakbalas untuk menggagalkan serangan hendap ini.

Di Malaysia Khalid yang diberi tugas menguruskan pembelian di sini optimis bahawa Bank Simpanan, Genting dan Kuwait Investment Group akan menerima tawaran PNB kerana ketiga-tiganya dianggap “mesra” dengan PNB.

Dato Ismail pula bergegas ke Singapura pada hari itu untuk berjumpa dengan pengerusi OCBC. Rancangannya ialah untuk meyakinkan pihak OCBC untuk menerima tawaran membeli saham Guthrie yang dipegang bank itu pada pukul 3:30 ptg, dan menghantar notis penerimaan pada pukul 3:45 petang.

Di London, Rowe & Pittman serta Rothschilds hanya menunggu lampu hijau dari Malaysia untuk membeli saham-saham Guthrie dari pelabur Inggeris pada pagi tersebut.

Sewaktu di Singapura, Ismail dan pengerusi OCBC, Tan Chin Tuan berbincang mengenai pembelian saham Guthrie sewaktu makan tengahari. Perbincangan yang memakan masa lama itu akhirnya berakhir dengan satu berita kurang enak. OCBC menolak tawaran PNB.

Ismail menelefon Khalid dan memberitahu berita buruk tersebut. Tetapi oleh kerana Khalid telah berjaya membeli saham dari Kuwait, Bank Simpanan dan Genting, mereka tiada jalan lain kecuali meneruskan serangan.

Di London, sebaik menerima lampu hijau, kedua-dua firma yang diupah PNB memulakan proses pembelian sepantas mungkin. Bank saudagar Rothschilds berjaya memujuk M&G Investment Trust, sebuah syarikat amanah saham Inggeris (yang memegang 17% dari Guthrie) menjual 11% saham Guthrie miliknya.

Broker-broker Rowe & Pittman yang ditugaskan membeli saham dari pelabur kecil Britain pula berjaya mengumpulkan sasaran 5% saham dari orang Inggeris.

Walaupun tanpa saham OCBC, dalam masa 4 jam, PNB berjaya memiliki 8 juta saham, atau 50.41% dari keseluruhan syarikat, tanpa disedari atau keizinan pihak pengurusan Guthrie.

Lewat tengahari waktu London, Guthrie jatuh ke dalam genggaman Malaysia.

Mahathir Terus Menekan British
glasgow report

Laporan akhbar Glasgow Herald di London pada 8 Sept 1981

Pengerusi Guthrie, Mark Gent hanya sedar bahawa bahawa syarikatnya jatuh ke tangan Malaysia setelah mendengar berita itu di radio.

Pengambilalihan secara tiba-tiba dengan mengeksploitasi kelemahan system bursa London oleh tanah jajahannya sendiri menyebabkan kerajaan British malu besar.

Walaupun ada broker di London memujinya sebagai urusniaga “licik”, media London kebanyakannya menyelar serangan ini sebagai “nasionalisasi pintu belakang”. Sebagai tindakbalas, London kemudiannya bertindak meminda peraturan di Bursa Saham London bagi memastikan syarikat-syarikat lain milik British seperti Dunlop tidak jatuh dengan cara sama.

Sebulan selepas itu, London dikejutkan lagi dengan pengumuman baru Mahathir.

Mahathir mengumumkan bahawa Malaysia akan memboikot barangan dan perkidmatan dengan British melalui kempen yang dinamakan Buy British Last. Mahathir yang marah kerana spekulasi timah dunia di London mengakibatkan harga eksport utama Malaysia jatuh mendadak, telah mengarahkan agar semua kontrak kerajaan kepada pihak British dibekukan.

Tindakan Mahathir ini memberi kesan besar kepada kontrak semasa dan akan datang British berjumlah 1.25 billion pound sterling yang sepatutnya diterima oleh British. Kontrak Dunlop untuk membekal tayar kepada kerajaan sejak 1963 lagi contohnya kini diberi kepada sebuah syarikat Amerika Syarikat sehingga menyebabkan Dunlop menjual kepentingan mereka kepada MPH.

Dalam masa 3 bulan, saham-saham Guthrie perlahan-lahan dijual kepada PNB. Pada akhir tahun 1981, 100% Guthrie berada di bawah pegangan anak tempatan.

Ismail akhirnya mengambilalih pengurusan Guthrie dan memindahkan ibu pejabat operasi Guthrie dari London ke Kuala Lumpur sebagai tanda berakhirnya penguasaan Inggeris ke atas syarikat tersebut.

Tidak lama selepas Dawn Raid juga, Mahathir memboikot Persidangan Negara-Negara Komanwel (negara bekas jajahan British) yang diterajui oleh Britain. Menurutnya, mesyuarat itu hanya melebihkan kepentingan orang berkulit putih.

Oleh kerana H&C memiliki tanah ladang getah, kelapa sawit dan aset bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara lain seperti di India, New Zealand dan Taiwan, PNB juga menjadi tuan tanah baru kepada asset-aset Inggeris dari seluruh dunia.

Dengan pemilikan baru ini, PNB selaku wakil orang Melayu muncul sebagai pemilik tanah ladang terbesar di dunia.

Lebih manis lagi, dalam temuramah dengan wartawan tempatan, Khalid memberitahu bahawa setelah PNB menjual aset Guthrie di luar Malaysia, keuntungan yang didapati melebihi jumlah kos yang diguna sewaktu Dawn Raid.

Kata Khalid “..kita sebenarnya mendapat Guthrie secara percuma.”

Nota:

1. Penulis merakamkan jutaan terima kasih kepada Dr. Shakila Yacob atas kesudian memberi manuskrip kajian beliau bersama Nicholas J. White untuk rujukan penulis.

2. Penulis memaparkan tulisan ini sebagai rencana ilmiah, dan tidak berminat untuk memihak kepada mana-mana individu atau parti politik.


DITUDUH PENCURI DAN MELAKUKAN JENAYAH, BILA LAGI NAJIB NAK SAMAN TUN MAHATHIR..??


Tun Mahathir Mohamad terus konsisten dan terbuka mengkritik serta menyerang Najib Razak.

Sementara Najib hanya berani main sindir-sindir dan menggunakan kiasan untuk memperlekeh musuh politiknya itu, Tun Mahathir sebaliknya melakukan semua serangan secara terang-terangan dan nyata.

Jika sebelum ini beliau menuduh Najib sebagai pencuri, kali ini dalam tulisan terbaru di blognya, Tun Mahathir lebih terbuka dengan mengatakan Najib telah melakukan jenayah.

Kata bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu, menyokong Najib adalah sama seperti menyokong jenayah yang dilakukannya.

“UMNO sekarang sudah dihijack untuk menjadi alat pelindung jenayah yang sudah dan sedang dilakukannya.

“Ia menggunakan duit kerajaan dan duit 1MDB yang diselewengkan untuk sogok ahli-ahli UMNO supaya terus menyokong dirinya,” tulis Tun Mahathir.

Sehubungan itu, beliau mengajak ahli-ahli UMNO berhenti mengkhianati parti itu.

“Tolaklah Najib dan keluarlah daripada UMNO untuk menyertai gerakan menjatuhkannya dalam pilihanraya.

“Hentikan daripada melindungi makhluk perosak ini,” tambahnya lagi.

Suatu serangan yang jelas, terang, nyata, tidak berselindung dan mudah difahami.

Selain itu, Tun Mahathir, beserta pelbagai dakwaan dan serangannya terhadap Najib, beliau dalam beberapa ucapannya juga mengalu-alukan untuk disaman jika apa yang disebutnya adalah tidak benar.




2017/06/25

RUGI BANK NEGARA TUBUH SURUHANJAYA DI RAJA,CURI DUIT 1MDB SENYAP-SENYAP DI BIARKAN BERMAHARAJALELA

Kenyataan Media

*

1.Keputusan 'kabinet dapur' PM Najib menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing (Forex) oleh bank Negara Malaysia satu langkah yang sangat dialu-alukan.Cuma apa yang dipersoalkan, kenapa semasa Tun Mahathir masih berkuasa Najib Razak diam membisu seolah-olah pekak dan buta. *Untuk apa setelah hampir 30 tahun baru kini Najib Razak nak tunjuk hero*?..Kenapa perlu  tunggu *selepas 14 tahun Tun Mahathir bersara baru nak tubuh Suruhanjaya Diraja*.

2. Jawapannya tidak lain hanya kerana Tun Mahathir banyak membangkitkan salah laku penyelewengan PM Najib Razak menyebabkan PM Najib Razak bertindak balas bagi mengalih tumpuan rakyat terhadap isu 1MDB dan DOJ. Serangan balas PM Najib Razak terhadap Tun Mahathir sebelum ini dengan hujah *Tun Mahathir juga ada buat salah* tapi kami diam serta tetap memberi wala' kesetiaan pada beliau.. *Kenapa sekarang Tun Mahathir tidak boleh bersikap seperti kami (walaun) yang mendiamkan diri ketika Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri*.Kenyataan PM Najib Razak itu tidak pun membersihkan dirinya dari dakwaan Tun Mahsthir tetapi sebaliknya menuding jari terhadap Tun M bahawa Tun M juga buat salah semasa berkuasa.Kini Najib tidak lagi menuding jari dengan percakapan tetapi sebaliknya dengan penubuhan badan siasatan ke atas perkara yang berlaku di era Tun M.

*ANTARA RUGI DAN CURI*

3. Menyiasat kerugian urusniaga mata wang asing (Forex) dengan menubuh RCI tiada siapa yang menghalang atau bantah.Cuma apa yang dikesali ialah kerajaan memandang sepi terhadap *skandal mega 1MDB*.Dua perkara yang sangat berbeza antara masalah Bank Negara dan 1MDB. *Bank Negara mengalami kerugian sedangkan 1MDB mengalami kecurian dan penggubahan wang haram*.Antara rugi dan curi kabinet dapur PM Najib Razak UmnoBN adalah beri  *keutamaan pada kerugian 30 tahun yang lalu* manakala kes  *kecurian 1MDB* adalah kes semasa dan mengakibatkan kesan kepada kehidupan rakyat hari ini serta mencalarkan integriti negara.

4. Bukankah satu jurang perbezaan yang besar antara *kes rugi Bank Negara dengan kes curi 1MDB*.Apakah *kerugian lebih besar kesalahan jenayahnya dari mencuri*.Kabinet dapur PM Najib Razak tidak dapat membezakan kerugian Bank Negara dengan jenayah mencuri 1MDB.Pada saya tidak salah tubuh RCI atas kerugian Bank Negara tetapi kerugian telah pun berlaku.Tetapi apa yang sedang berlaku ialah kecurian 1MDB. *Seluruh dunia sedang melihat dan mengenali 'kawaq' (pencuri) 1MDB sedang rakus mencuri*.Peguam Negara kabinet dapur PM Najib Razak tanpa rasa malu berkata tidak berlaku kes curi pada hal dalam masa yang sama 'kawaq' (pencuri) 1MDB sedang rakus mencuri.Adalah amat penting untuk rakyat membuat penyelesaiannya kerana  *rakyat mempunyai kuasa untuk tangkap 'kawaq' (pencuri) yang bernama MO1*.

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin.. *"Jangan biarkan 'kawaq' (pencuri) 1MDB mencuri duit raya anak cucu kita”*.

*Selamatkan Malaysia!*

#SiasatPuncaRugi
#TangkapPencuri
#JanganMencuri
#HukumPencuri
#JanganBiarPencuriLari

*Dato' Hj Mahfuz Hj Omar*
Ahli Parlimen Pokok Sena
4:00pm Taman Alwalid Alor Setar
24 Jun 2017/29 Ramadhan 1438H

2017/06/24

HANG JOLO... PULANGLAH PERANTAU

SATIRA l Bagi orang-orang Melayu Umno Islam, tiada ertinya Syawal kali ini tanpa kepulangan ikon usahawan global yang bertaraf dewa. Tiada kemeriahan untuk bersama dengan lelaki romantis, pemurah dan banyak berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Persetankan segala tohmahan ciptaan pembangkang berniat jahat melalui DOJ yang asyik mengulang tuduhan palsu, fake news, fitnah dan pembohongan. Mana ada bukti 1MDB kehilangan duit dan dirompak, seperti kata peguam negara, ketua polis negara dan semua pemimpin Umno yang tentunya tidak berbohong dalam bulan Ramadan.

Lelaki montel yang genius itu, dengan nama Melayunya, Hang Jolo bukan sahaja masih virgin, teruna, suci malah tidak langsung merompak dan menyamun di mana-mana pun di dunia.

Bertaubatlah kalian, lupakah yang sesiapa pun innocent until proven guilty? Tiada mahkamah di dunia yang mendakwa hero nasional ini.

Tiada! Apalagi semua agensi pihak berkuasa di Malaysia, dari perdana menteri, isteri, anak-anak hingga ke majlis-majlis bandaran tidak pernah menangkap Hang Jolo. Mana ada menteri-menteri, apalagi macai-macai seperti Jamal Yunos berani menyebut nama Hang Jolo?

Mereka semua menyanjung dan menjunjung kehebatan Hang Jolo.

Merajuk kesepian...

Kesian dan simpati tidak terhingga kepada tokoh niaga ulung yang merentas planet dari pulau ke pulau, kota besar ke kota besar dan dari bumi ke tujuh pelata langit.

Harum nama batang tubuh yang terpaksa jauh membawa diri, merajuk, kesepian bersama kapal layar taraf bilionair, Equanimity.

Khabarnya kini bersendirian merenung laut di persisiran Kemboja. Seakan mahu melepaskan gundah gelana dan segala kemurungan dibulan Ramadan yang mulia.

Semenjak beberapa kali putus cinta, dari Paris Hilton, Elva Hsiao kepada Merinda Kerr dengan puluhan juta perbelanjaan hadiah, hiburan demi kasih sayang, Hang Jolo tetap tabah dan meneruskan kehidupan dengan menjadi penderma badan-badan kebajikan.

Begitulah pahlawan yang berjiwa besar.

Sumbangan derma tentu tidak sebesar sumbangan derma Raja Arab, RM2.6 biliion kepada ‘Malaysian Official 1', pahlawan Bugis dan tokoh Islam Wasatiyyah itu, tetapi keikhlasan Hang Jolo jangan sekali dipertikaikan.

Tiadakah para pemfitnah nampak kebaikan Hang Jolo ini? Malah Hang Tuah sekalipun yang frust menonggeng dengan Puteri Gunung Ledang dan Tun Teja tidak sehebat Hang Jolo memberi hadiah hasil keringat sendiri.

Bayangkan betapa gigihnya dengan keringat, darah dan airmata, Hang Jolo membina empayar bisnes merentas planet. Dengan dana sendiri dan mengembangkannya sekelip mata. Sesuatu yang tentu tidak diajar di Wharton Business School, apalagi di UiTM dan mana-mana universiti tanahair.

Tutup tiga bank Yahudi

Tidak tahu kenapa, amat mengherankan kenapa Hang Jolo tidak menjadi suri teladan Transformasi Nasional (TN50) dan menerima anugerah Tun, Tan Sri, Datuk Seri, Datuk Paduka, Datuk dan Datin sekaligus.

Malah semua universiti yang ada di Malaysia patut memberi ijazah kedoktoran terhormat untuk kecemerlangan anak Malaysia sebagai bilionair diusia muda. Lagi hebat dari Mark Zuckerberg yang tidak habis mengaji.

Jauh lebih hebat kerana Hang Jolo telah berjaya menutup sekurangnya tiga buah bank Yahudi. Satu agenda islamik yang tidak pernah berjaya dilakukan oleh Tun Mahathir, Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan juga mana-mana pemimpin Islam di muka bumi.

Tidakkah para pembangkang Melayu Islam nampak kehebatan Hang Jolo itu? Beliau berani dan berjaya memperkosa, meliwat banyak sistem kewangan negara kafir harbi sehingga tiada dapat dikesan oleh peguam negara mereka. Apalagi oleh Bank Negara, SPRM, peguam negara dan PDRM.

Kehebatan yang tiada tandingan!

Melayu Umno memerlukanmu...

Hang Jolo, pulanglah perantau.

Jangan terus merajuk bersembunyi. Negara memerlukan bakti dan sumbangan ikhlas kamu dalam memulihkan ekonomi negara. Melayu Umno Islam memerlukan hero baharu yang boleh menganjak pradigma, dari lautan biru ke lautan merah, tsunami yang boleh mengubah pilihanraya agar kepimpinan maksum hari ini terus bermaharajalela sebagai kerajaan Melayu Islam.

Kalau masih frust menonggeng kerana putus cinta, ramai puteri-puteri Umno yang layak sebagai pasangan bahagia. Mereka berbangga dengan kecemerlangan seorang anak Cina yang berjuang demi agama, bangsa dan negara di bawah kepimpinan Melayu Umno Islam.

Bersama lagu syahdu P Ramlee, 'Dendang Perantau' dan S Jibeng, 'Musafir di aidilfitri", kami anak-anak Melayu Islam Umno berharap dan merayu, Hang Jolo, pulanglah Perantau!

MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

2017/06/23

SURAT TERBUKA UNTUK Polis Diraja Malaysia

To :

Royal Malaysia Police

Assalamualikum, tujuaan status ni diupdate ialah untuk menyuarakan tidak puas hati atas siasatan pihak PDRM terhadap kes SAMUN BERSENJATA BERKUMPULAN terhadap saya pada 20 Februari 2017 oleh kawan saya sendiri.

Panjang ceritanya macam mana saya boleh disamun, tapi secara ringkasnya saya telah disamun oleh individu yang saya kenal (Muhammad Jefri bin Abd Rahim berasal daripada Banting) bersama 7 orang yang lain di SS15, Subang Jaya. Senjata yang digunakan ialah sebilah Kerambit dan sebilah pisau. Nilai kerugian barang saya yang rosak dan hilang ialah RM53,920. Antara barangnya ialah wang tunai RM11,000, Canon 5D mark ii, Canon 70-300 L, 6 unit iPhone, MacBook Pro, Honda Jazz GK, iPad Pro, Samsung Note 5 dan banyak lagi.

Alhamdullilah, dalam tempoh 24 jam semua suspek telah berjaya diberkas di rumah atuk Jefri di Kuala Selangor. Kawan saya yang diculik ditinggalkan di tepi Lebuhraya NKVE dekat KLIA. Kereta Honda Jazz yang disamun dijumpai didalam ladang kelapa sawit di Banting. Hanya sebahagian sahaja barang samun dijumpai semula. 2 suspek lagi hilang melarikan diri. Wang tunai daripada RM11,000 cuma RM300 sahaja dijumpai semula.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan. Pada awalnya terpancar sedikit kegembiraan dihati saya tapi kembali kecewa setelah Jefri dibebaskan dengan ikat jamin RM8000 SAHAJA. Namun saya masih lagi menaruh harapan terhadap PDRM untuk siasatan kes ini dan pihak terbabit menerima human yang setimpal.

Akhirnya, seminggu sebelum perbicaraan, sikit demi sedikit "kecacatan" kes ini terkeluar. Daripada 7 orang suspek, hanya 2 orang sahaja yang akan didakwa, kes culik tidak disebut, tiada rakaman CCTV daripada lokasi diambil, tiada saksi bebas yang dipanggil, barang-barang bukti diserahkan kepada saya sebelum perbicaraan, bukti cap jari musnah dan banyak lagi.

3 hari sebelum perbicaraan tiba-tiba saya diajak berjumpa dengan keluarga Jefri untuk "Selesai Luar Mahkamah". Apa yang ditawarkan hanya RM1000 dan mohon saya maafkan Jefri dan kes ini ditarik semula. Allahuakbar, nak dimarah tak sampai hati, nak dimaki jauh sekali. Akhirnya kes ini tetap diteruskan dengan perbicaraan pada 15 Jun 2017.

Disinilah akhirnya semua pekara terungkai. Pada hari pertama perbicaraan, rupa-rupanya Pegawai Penyiasat (IO) kes samun ini telah cuba untuk 'membuang' kes dengan menyerahkan barang bukti kes kepada saya, memalsukan tandatangan dokumen kawad cam, menyuruh saya supaya tidak hadir ke mahkamah, hampir semua saksi tidak dapat hadir ke mahkamah dan laporan siasatan lebih 50% tidak lengkap. Perbicaraan ditangguhkan pada hari kedua.

Pada hari kedua, perbicaraan masih tidak dapat diteruskan kerana suspek yang mengacukan kerambit dileher saya (sepupu Jefri) tidak hadir kerana TIDAK DIHANTAR oleh Jabatan Penjara Malaysia daripada Penjara Kajang. Begitu juga dengan Pegawai Penyiasat kes ini, tidak dapat hadir dan hampir semua suspek tiada di mahkamah. Masa ni saya betul-betul rasa dah putus harapan. Polis yang sepatutnya membela dan menegakkan keadilan dalang disebalik ini. Akhirnya, Pegawai Penyiasat hadir setelah dipaksa oleh pihak mahkamah. Beliau juga mengaku memalsukan tandatangan beberapa dokumen yang lain dan tidak menyiasat sepenuhnya atas alasan PENAT. Akhirnya kes ditunda ke bulan Ogos.

Selepas semua ini terungkai, TIADA SEBARANG UPDATE YANG SAYA TERIMA DARI PIHAK PDRM. Seolah-oleh kes saya disamun ini sama seperti sampah. Mungkin pada pandangan pihak polis saya kehilangan RM0.50. Tiada apa yang perlu disiasat. Tiada seorang pon daripada mana-mana pihak menghubungi saya.

Apa yang saya dapat daripada semua ni? sejak daripada hari perbicaraan ditunda, hampir setiap hari saya diekori oleh beberapa individu kemana sahaja. Dan 2 hari lepas 2 unit kereta peronda masuk ke kawasan rumah saya dan memeriksa kenderaan saya. NAK CARI APA?

Setelah 122 hari saya disamun dan tiada pembelaan yang di terima dan saya letih seolah-oleh saya yang menyamun, mungkin ini jalan yang terbaik. Semoga kes ini mendapat pembelaan sewajarnya dan yang bersalah dihukum sewajarnya.

- Nukman Muqarrin
- Founder DSLRshop.my
- 21 Jun 2017

#keadilan undang²
*Polis Diraja Malaysia
*Jabatan Penjara Malaysia
*Mahkamah Seksyen Petaling Jaya
*Balai Polis Subang jaya

PERUTUSAN HARI RAYA PPBM P149 SRI GADING - 1438 Hijrah - 2017 Masihi

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar
Walillahilhamd

Bersempena Aidilfitri ini, saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin, kepada seluruh umat Islam khususnya.

Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Illahi kerana telah berkesempatan melaksanakan ibadah puasa sepenuhnya.

Saya berdoa semoga segala amal ibadat kita di sepanjang bulan Ramadhan ini diterima oleh Allah s.w.t.

Saya juga berdoa semoga kita diberi kesempatan melaksanakan tanggungjawab ini di tahun-tahun akan datang.

Sesungguhnya, walaupun di dalam suasana ekonomi dan politik yang begitu mencabar, kita harus bersyukur kita masih mampu merayakan Aidilfitri walau dengan begitu ringkas sekali pun namun kita dapat meraikannya bersama keluarga tercinta, sanak saudara dan rakan taulan.

Semestinya, semangat kekeluargaan dan setiakawan serta menjalinkan silaturrahim merupakan salah satu tunggak agama Islam dalam mendokong keamanan dan kesejahteraan ummah secara khususnya dan masyarakat sejagat secara amnya.

Islam sememangnya agama yang mementingkan semangat kemasyarakatan walau berbeza agama dan bangsa.

Islam tidak pernah menyarankan perpecahan dan kesangsian dipupuk di kalangan masyarakat hanya disebabkan perbezaaan pandangan, agama dan bangsa.

Namun begitu, kita lihat sejak kebelakangan ini terlalu banyak insiden yang semakin memecahbelahkan masyarakat agar lebih rasis dan lebih berprasangka.  Lebih-lebih lagi insiden yang mana perlakuan kononnya di atas nama Islam.

Kita harus sentiasa ingat bahawa Islam itu agama persaudaraan.

Oleh itu, kita seharusnya mengekang apa-apa perasaan amarah yang membawa kepada perpecahan.

Semoga ibadah di bulan Ramadhan ini telah menyedarkan kita semua bahawa keamanan itu fitrah manusia dan akan betapa pentingnya masyarakat bersatu padu, terutama di dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Hanya dengan perpaduan dan keamanan dapat kita sama-sama membina negara tercinta ini.

Hanya dengan perpaduan dan keamanan, dapat kita teguh bersatu agar dapat menangkis anasir-anasir yang bertopengkan patriot Malaysia tetapi menghancurkan negara secara halus.

Saya yakin keimanan yang kita pupuk di dalam jiwa kita sepanjang Ramadhan ini, akan terus berputik dan menyedarkan kita semua agar bersungguh menegakkan kebenaran dan keamanan, dan memperkukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat sejagat.

Oleh itu, sempena bulan mulia Ramadhan dan Aidilfitri ini, marilah kita saling bermaaf-maafan dan jalinkan kembali tali silaturrahim antara kita.

Bagi mereka yang beraya di kampung halaman masing-masing, hati-hati memandu dan patuhilah undang-undang jalanraya. Ingatlah nyawa dan keselamatan anda dan keluarga anda amat berharga.

Sekali lagi, saya dan keluarga saya ingin mengucapkan kepada seluruh umat Islam, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Dengan Ingatan Tulus Ikhlas Daripada

Ahli Jawatankuasa
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
P149 Sri Gading

29 Ramadan 1438
24 Jun 2017

MARUAH MELAYU

Tun Dr Mahathir 23 Jun 2017

1. Saya kembali ke Kubang Pasu, kawasan saya dahulu, buat kali pertama untuk berbuka puasa di Kodiang selepas 14 tahun meletak jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Kubang Pasu.

2. Ramailah juga ahli-ahli UMNO Kubang Pasu yang hadir dalam acara iftar itu. Saya sedih kerana ramai lagi dari mereka yang masih berada dalam UMNO.

3. Dalam ucapan saya, saya jelaskan bahawa UMNO sekarang bukan UMNO yang saya pimpin dahulu. UMNO sekarang bukan pun UMNO yang ditubuh pada 1946 oleh Dato Onn, UMNO yang mengalahkan Malayan UNION, dan mencapai kemerdekaan. UMNO sekarang telah dihijack oleh Najib untuk menjadi alat pelindung jenayah yang telah dan sedang dilakukan olehnya. Ia menggunakan duit Kerajaan dan duit 1MDB yang diselewengkan, untuk sogok ahli-ahli UMNO supaya terus menyokong dirinya. Sogokan ini dibuat melalui pelbagai cara.

4. UMNO Najib tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair. Laporan Department of Justice Amerika menunjuk bagaimana berbillion Ringgit yang diselewengkan disalahguna, selain dari sogokan untuk mendapat sokongan; untuk cara hidup mewah. Duit diguna untuk beli kapal terbang, kapal mewah, hartanah dan bangunan mewah di Amerika dan UK, berlian beratusan juta Ringgit sebiji untuk isteri Malaysia Official 1, iaitu Najib.

5. Sebahagian besar berjumlah berbillion Ringgit yang diselewengkan diperolehi oleh sahabatnya Jho Low. Duit ini diguna untuk beli harta, untuk berjudi dan kehidupan mewah di AS dan UK.

6. Kita juga tahu bahawa di Singapura beberapa bank telah hilang lesen kerana terlibat dengan salahlaku wang 1MDB dan lebih enam orang didenda dan dipenjara kerana terlibat dengan penipuan duit 1MDB.

7. Penyokong Najib menuduh bahawa kononnya parti pembangkang termasuk saya terlibat dengan pengeluaran kenyataan oleh Dept of Justice Amerika. Amerika Syarikat bukan seperti Malaysia. Di Malaysia ada Perdana Menteri yang melalui wang dan ugutan mempengaruhi tindakan dan kenyataan oleh anggota Kerajaan. Di Amerika Presiden pun terpaksa menerima laporan berkenaan dirinya dari pegawai berkaitan dengan apa sahaja salahlaku olehnya. Dan Presiden biasa disingkir kerana perbuatan yang salah yang dilapor oleh pegawai agensi tertentu. Itulah yang menimpa Presiden Nixon kerana skandal Watergate.

8. Menuduh parti pembangkang di Malaysia mampu mempengaruhi Dept of Justice Amerika adalah satu kebodohan yang luar biasa. Dan duta besar Amerika telah menafikan tuduhan ini. Jenayah yang dilakukan adalah jenayah di Amerika, melibat bank-bank di Amerika, harta-harta di Amerika yang menyalahi undang-undang Amerika bernama Kleptocracy Asset Recovery.

9. Semua ini tentu diketahui oleh orang UMNO, terutama pemimpin mereka. Hanya yang telah disumbat dedak dalam mata dan telinga sahaja yang buta dan pekak yang tidak tahu.

10. Perbuatan ini sudah merosakkan negara yang dahulu dihormati dunia. Malaysia sudah disenarai dalam senarai 10 buah negara dengan tahap rasuah yang tertinggi di dunia.

11. Sokongan kepada Najib oleh ahli Umno bermakna mereka sokong jenayahnya dan sudah tidak lagi setia dan sayang kepada bangsa Melayu mereka, kepada ajaran Islam dan kepada negara mereka.

12. Seperti Najib mereka sudah jadikan wang tunai sebagai raja yang disembah. Secara langsung mereka mengkhianati bangsa, agama dan negara. Sudah tentu, bersama Najib, mereka mengkhianati parti UMNO yang asal. Malapetaka akan menimpa negara Malaysia ini kerana mereka sokong Najib.

13. Berhentilah dari mengkhianati UMNO yang sebenar. Tolaklah Najib dan keluarlah dari UMNO Najib untuk menyertai gerakan menjatuhnya dalam pilihanraya. Hentikan dari melindung makhluk perosak ini.

14. Tebuslah balik maruah Melayu, agama Islam. Janganlah begitu taksub kepada parti sehingga penyelewengan oleh parti pun tidak dipedulikan. Kembalilah kepada prinsip dan matlamat UMNO yang sebenar yang hari ini cuma berada dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

INI BEZA PROJEK SAYA DAN PROJEK NAJIB, KATA DR. MAHATHIR.


24 May 2017
Membandingkan pelaburan kerajaan hari ini yang disifatkannya sebagai hanya membebankan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pelaburan dan projek ketika zamannya mendatangkan keuntungan kepada negara.
Bekas perdana menteri itu berkata, ia juga dibuat berdasarkan keperluan negara dan bukan untuk populariti.
“Kebanyakannya dibuat berdasarkan pulangan, bukan untuk ‘membodek’ rakyat atau menjadi popular.
“Ia digunakan untuk sesuatu yang produktif, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT baru-baru ini.
Memberikan Litar Antarabangsa Sepang sebagai contoh, beliau berkata ia memakan kos sebanyak RM230 juta tetapi memberikan pulangan yang tidak ternilai kepada negara.
“Nilainya dari segi mengangkat (nama) Malaysia ke dunia. Perlumbaan Formula 1 selama 3 hari mendapat liputan lebih 39 stesen televisyen seluruh dunia, dan nilai ‘iklan’ itu berbilion ringgit.
“Ia penting untuk meningkatkan kedatangan pelancong, yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
“Ia adalah pelaburan, bukan untuk suka-suka,” katanya.
Malaysia akan berhenti menganjurkan perlumbaan Formula 1 bermula tahun depan atas sebab kos yang terlalu tinggi dan tidak mendatangkan pulangan memadai kepada negara.
Berhubung KLIA yang pernah diramal bakal menjadi “gajah putih”, Dr Mahathir berkata ia terbukti salah, dan berkata lapangan terbang besar seumpama itu perlu kerana “industri perjalanan udara berkembang dengan pantas”.
“Dalam masa hampir 20 tahun (sejak KLIA beroperasi), pertambahan (penumpang) meningkat daripada 18 juta kepada 42 juta setahun.
“Jadi kita menyediakan 25,000 ekar tanah untuk lapangan terbang. Jika tiada (tanah) apa akan terjadi? Mungkin lapangan terbang (terpaksa dibina) di Terengganu.”
Menurut laporan tahunan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) 2016, jumlah pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik bagi KLIA pada tahun itu adalah 52.6 juta, meningkat 7.6% berbanding 2015 iaitu pada 48.9 juta.
“Jika tidak memandang jauh ke hadapan, tidak boleh membuat perancangan,” katanya.
Projek Mahathir vs projek Najib
Di akhir dekad 1990-an, istilah “projek mega” – dengan konotasi negatif – digunakan pengkritik Dr Mahathir bagi menggambarkan projek berbelanja besar ketika itu.
Litar Sepang, KLIA, Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan pusat pentadbiran baru di Putrajaya dikritik hebat dan disifatkan sebagai pembaziran.
Apatah lagi sebahagiannya dibina ketika negara dilanda krisis ekonomi bermula 1997.
“Kebanyakannya dibina tidak melebihi kemampuan negara, dan tanpa meminjam. Jika ada pun (pinjaman) jumlahnya kecil, tidak melebihi RM1 bilion,” kata Dr Mahathir.
Bukan seperti projek sekarang, katanya, di mana kerajaan meminjam dengan jumlah yang besar yang menurutnya tidak sihat untuk negara.
Sebagai contoh, beliau menyebut projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sepanjang 600km menghubungkan Lembah Klang ke Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Bagi projek itu, kerajaan membuat pinjaman mudah dengan Export Import Bank of China (China Exim Bank) berjumlah RM55 bilion, dan bakal dibina oleh China Construction Communications Company seperti yang ditetapkan Beijing.
Dr Mahathir mendakwa kerajaan akan menanggung kerugian untuk 30 tahun akan datang menerusi projek itu.
“Di pantai timur, untuk apa? Di pantai barat pun anda tidak dapat membuat keuntungan menerusi kereta api.
“Rakyat mahu menggunakan jalan raya, dan kita telah bina jalan raya yang baik untuk mereka,” katanya.
Dalam 22 tahun pentadbirannya, Dr Mahathir berkata kerajaan tidak berbelanja lebih daripada kemampuan dalam membangunkan negara, sesuatu yang menurutnya gagal dicontohi Datuk Seri Najib Razak.
“Jangan berbelanja lebih daripada pendapatan kita. Jangan naikkan (atau memperkenalkan) cukai sebab kita terlebih belanja,” katanya, dipercayai merujuk kepada sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan pada April 2014.
http://www.freemalaysiatoday.com/…/saya-sudah-bakar-jambat…/
http://www.freemalaysiatoday.com/…/di-satu-sudut-kota-yang…/
http://www.freemalaysiatoday.com/…/whats-wrong-with-protec…/