Oleh: Dr Radzi Jidin, Hobart, Australia, 10 October 2017 [Untuk FB Page Bicara Malaysia]
1. UMNO sedar bahawa Dr Mahathir masih mempunyai sokongan kuat dikalangan orang-orang Melayu. Suka atau tidak, itu adalah hakikat yang mereka terpaksa terima.
2. Di awal penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ke dalam Pakatan Harapan (PH), UMNO memainkan isu bahawa PH adalah sebuah pakatan yang diketuai oleh parti DAP dan Kit Siang.
3. Setelah Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Pengerusi PH, isu bahawa PH diterajui oleh DAP dan Kit Siang sudah tidak menjadi senjata yang ampuh bagi UMNO.
4. Serangan agak perlahan selepas sahaja Tun Mahathir diumumkan sebagai Pengerusi PH. Ini kerana struktur PH yang diumumkan jelas menampilkan ramai pemimpin-pemimpin Melayu di saf depan PH.
5. UMNO sedar bahawa mereka agak sukar menyerang apabila struktur PH menggambarkan bahawa PH tidak dikuasai oleh DAP dan Kit Siang.
6. Sekiranya isu DAP dan Kit Siang tidak dimainkan, apakah isu yang boleh dimainkan oleh UMNO untuk menarik sokongan orang Melayu?
7. “Strategis-strategis” tentunya UMNO berhempas pula mencari isu yang boleh dimainkan.
8. Tumpuan serangan adalah terhadap Tun Mahathir dan juga DAP dan Lim Kit Siang.
9. Isu seperti RCI Forex, kegagalan Proton, kekayaan Tun M, Memali dan sebagainya yang digunakan untuk menyerang Tun Mahathir gagal mendapat momentum yang sewajarnya. Sebaliknya isu-isu tersebut sedikit sebanyak telah memakan diri mereka.
10. Jika kita lihat perkembangan akhir-akhir ini, ternyata “strategis-strategis” UMNO telah membuat keputusan bahawa senjata paling berkesan untuk menjauhkan orang Melayu dari PH dan “menarik” mereka agar menyokong UMNO adalah memainkan isu DAP dan Kit Siang.
11. Untuk menjadikannya lebih ampuh, isu DAP dan Kit Siang perlu dimainkan dengan nama Tun Mahahtir. Mereka berharap dengan cara ini orang Melayu akan hilang hormat kepada Tun Mahathir serta menjauhkan diri dari PH kerana adanya DAP dan Lim Kit Siang.
12. Ini boleh dilihat dari contoh-contoh kenyataan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin UMNO tentang Tun Mahathir, DAP dan Lim Kit Siang. Antaranya:
a. Kit Siang sembunyikan niat sebenarnya - Salleh Said [Utusan, 10/10/2017]
b. Kit Siang berjaya ‘tawan’ Mahathir – Annuar Musa [Utusan, 10/10/2017]
c. Dap Akan Terus Perkudakan Sesiapa Sahaja – Annuar Musa [Utusan, 10/10/2017]
d. Tun M Hilang Adab Kerana Sudah ‘Disuntik’ Dengan Darah Dap – Tajuddin Rahman [9/10/2017]
e. Kit Siang didesak buat penjelasan – Shahrizat [Utusan, 8/10/2017]
f. Mohd. Puad sindir Kit Siang [Utusan, 8/8/2017]
g. Tun M beri isyarat jelas kepada Melayu mahu jatuhkan PM – Tunku Aziz [Utusan, 8/10/2017]
h. Kerjasama Dr. Mahathir, Kit Siang ‘luar biasa’ [Utusan, 8/8/2017]
i. Polis perlu siasat ‘urusan' RM1b Tun M – Asogan [Utusan, 6/10/2017]
j. Desak polis siasat dakwaan Tun M 'bayar' Kit Siang – Asogan [Utusan, 6/10/2017]
13. Itu hanya sebahagian kecil kenyataan tentang Mahathir, Lim Kit Siang dan DAP yang disiarkan oleh lidah-lidah utama UMNO dalam masa 5 hari!
14. Jadi, saya tertanya-tanya. Jika tiada DAP, apakah isu paling ampuh yang boleh dimainkan oleh UMNO dalam menghadapi PRU14 nanti ?
..