_BismillahirRahmanirRahim_
*.*
1. AlhamdulilLah, selamat Pakatan Harapan meluncurkan Belanjawaan 2018 olih Presidennya, Dato Seri Dr Wan Azizah di Parlimen Rabu, 25hb Oktober. PM Najib bakal bentang Bajet 2018 kerajaan BN pada 27hb, petang Jumaat.
2. Dengan mengunjurkan hasil kami sebanyak RM229.44bilion berbanding BN sebanyak RM244.48bilion, kami peruntukkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM200.16bilion sementara BN diunjurkan berbelanja mengurus sebanyak RM227.28bilion.
3. PH memperuntukkan perbelanjaan Pembangunan sebanyak RM58.35bilion sementara BN sebanyak RM58.22 bilion. PH mempunyai nisbah perbelajaan mengurus kepada pembangunan yang lebih baik iaitu 77:23, berbanding nisbah Umno-BN pada 80:20. Defisit Fiskal PH sebanyak 2.0% KDNK, sementara BN sebanyak 2.9% KDNK.
4 Sengaja dirancang setiap tahun sejak 1999 lagi sebegini. Kami bentang dahulu. Kalau tidak, memang tidak langsung berpeluang mendapat apa-apa liputan akhbar perdana milik BN. Meniliti respon pimpinan Umno-BN pagi ini adalah seperti sudah dijangka. Hampir nak saya kata, mereka 'terkejut beruk' (Oops) dengan perangkaan kami.
5. Untuk pengetahuan umum, disebalik muka-muka 'regular' dalam team PH termasuk penulis ini, tokoh-tokoh yang membantu terdiri dari pakar-pakar ekonomi bahkan mantan penasihat ekonomi PM pun ada. Jadi, pak-pak menteri, berpada-padalah nak kritik pun. Jangan ingat kami main congak-congak angka-angka itu. Ada asas dan penilaian pada setiap angka yang kami kemukakan.
6. Mudahnya, saya simpulkan Bajet PH sebagai "Belanjawaan Merawat Derita Rakyat". Ini agaknya yang sangat menjengkelkan Najib dan menteri-menterinya.
7. Ketika Najib mengenakan GST ke atas semua rakyat termasuk yang miskin dan golongan asnaf, PH mahu menghapuskan 'cukai songsang' ini. Ketika BN tarik balik subsidi (tepung, gula, minyak masak dan baham bakar), PH mahu melaksanakan kembali tapi, pastinya dengan kaedah 'targetted' atau 'terarah' bukan 'borong' atau 'blanket subsidy' ke atas semua.
8. Disamping itu Bajet PH juga dirumus secara komprehensif dan menggarap aspek-aspek ekonomi yang lain termasuk sektor Perbankan dan Ekonomi Islam dan Ekonomi Revolusi Industri 4.0 supaya negara kekal berdaya-saing dalam saingan baru global.
9. Kembali kita kepada persoalan bagaimana program ekonomi Najib Razak atau 'Najibnomik', telah terbukti membebankan rakyat. Najib juga gagal menjana kerja yang mempunyai gaji atau upah yang tinggi. Bila kadar inflasi melebihi kadar faedah simpanan dalam bank, maka rakyat mengalami 'kadar negatif' dalam simpanan. Maknanya nilai duit simpanan rakyat sebenarnya menyusut dalam bank mereka. Najib tidak tahu ke akan semua hal ini? 3 faktor besar yang mencetuskan inflasi yang ganas (virulent) ini adalah a) GST, b) Penarikan Subsidi dan c) Susut Nilai Ringgit.
10. Inflasi paling buruk pada bulan Mac (5.1%) lalu dan kadar inflasi diramalkan 3.7% purata untuk tahun 2017.
11. Mengikut dapatan penyelidik, kesan cukai GST menghapuskan lebih kurang 50% perbelanjaan isi-rumah secara langsung. Bersekali dengan GST, penarikan balik subsidi barang-barang keperluan melonjakka harga naik antara 14% sehingga 31%. Pengangguran khususnya di kalangan remaja dan graduan serta kehilangan kerja menambah derita rakyat.
12. Sebuah kajian sedikit waktu dahulu di kalangan pekerja di pasaran buruh, mendapati 9 dari 10 pekerja bermasalah menangani kos sara hidup. 47% tidak lagi mampu makan luar ditempat kerja dan hanya mampu bawa bekal dari rumah. Tahukah pihak Kementerian Perniagaan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berapa banyak perniagaan dan premis bisnes dah tutup?
13. Sentimen pengguna di tahap yang rendah, khasnya golongan 'Bottom-40' (B-40) dan rendah-sederhana dalam dalam golongam 'Middle-40' (M-40)
Apabila perbelanjaan isirumah jatuh, permintaan agregat akan jatuh dan kesan berantai ke atas ekonomi adalah buruk dan melembap. Bagaimanakah akan dapat di atasi penomena ini?
14. Lalu, amat menasabah Bajet PH bermatlamatkan mengatasi derita rakyat ini dengan mengurangkan kos sara hidup dengan langkah-langkah berikut, sekaligus mengizinkan rakyat mempunyai keupayaan berbelanja termasuk dengan cara meningkatkan gaji minima ke paras RM1,500.
15. Secara lebih khusus, langkah-langkah mengurangkan kos baranga termasuk:
i. Menghapuskan cukai GST yang songsang (regresif). Disamping itu, Prof Jomo Sundaram mengecam GST yang didakwanya menjadi faktor utama melebarkan lagi kesenjangan kaya-miskin.
ii. Menghapuskan tol sekaligus menjadikan kos pengangkutan awam mampu dibiayai rakyat.
iii. Begitu juga mempastikan rumah mampu dimiliki seperti yang kami laksanakan di Selangor.
iii. Menawarkan pendidikan percuma bagi mengurang beban hutang PTPTN dan menekankan Pendidikan dan Latihan Teknikal-Vokasional supaya menigkatkan kebolehpekerjaan.
iv. Juga bayaran balik hutang PTPTN yang apabila mendapat gaji melebihi RM4000.
v. Subsidi bahan bakar yang 'targetted' terarah dan bukan 'blanket' secara 'borong' supaya kena sasaran. BRIM akan kami teruskan dengan sedikit kaedah dan syarat yang berbeza bagi memaknakan proses pemgkeupayaan rakyat teramai.
vi. Melaksanakan Gaji Minima RM1,500 seperti dilaksana di Selangor dan Pulau Pinang dengan mewujudkan mekanisme 'co-pay system' supaya sama ditanggung olih majikan dan kerajaan akan kenaikan RM500 itu utk 3 tahun.
vii. Memperkasakan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan secara 'tripartite' bagi membela kepentingan dan kebajikan pekerja.
16. Selanjutnya, Bajet PH juga membutirkan Program Pengkeupayaan Wanita dengan menjamin hak saksama di segi 'pembayaran gaji pada kerja yang sama denga kaum lelaki, peluang kenaikan pangkat dan jawaran, cuti bersalin dalam sektor kerajaan kepada 120 hari dengan gaji penuh. Kemudahan yang secukup penjagaan anak-anak ditempat kerja di GLC, GLC dan syarikat tersenarai di Bursa Saham (PLC).
17. Bagi mempastikan golongan yang memerlukan sokongan dan dokongan kerajaan, PH telah menyediakan langkah-langkah dan program khas untuk membantu kaum Bumiputera, golongan B-40 Kaum India dan juga memperbaharui Kampung Baru Cina.
18. Pertikaian yang diutarakan olih pengkritik khasnya dari pimpinan BN adalah kemampuan kewangan PH untuk melaksanakan Belanjawaan PH ini.
19. Kami telah menjelaskan bagaimana dan dari mana sumber pendapatan dalam Bajet PH. Menghapuskan GST akan menafikan sumber RM42bilion dengan melaksanakan kembali SST kami hanya akan menjana RM16.5bilion. Maka kami akan mengalami defisit sebanyak RM25.5bilion. Isunya bagaimana ditampung?
20. Secara ringkasnya, telah dibutirkan dan tunjukkan bagaimana PH akan menampung 'lompang' atau 'defisit' RM25.5bilion itu. Mengambil kira semua cukai-cukai yang lain seperti Cukai Pendapatan Korporat (ClTA), RPGT, Duti lmpot dan Eksais dsbnya, maka kami masih kekurangan RM20bilion.
21. Berdasarkan perhitungan semua perbelajaan Persekutuan yang tertakluk kepada ketirisan, maka 'Penjimatan' dari pembaziran, ketirisan dan rasuah, akan dapat menjana dana (termasuk memotong peruntukan Jabatan PM) sebanyak RM20 bilion. Prestasi penjimatan sebanyak 15-20%, telah kami buktikan dalam kecekapan mengurus negeri Selangor da Pulau Pinang. Kami sedar kerajaan UBN bingung memikirkan akan perkara ini kerana tidak ada dalam 'sifir' dan 'perbendaharaan' kata mereka akan 'Penjimatan' kerana sifat itu adalah amat berlawanan dengan tadbir-urus yang sarat dengan rasuah, ketirisan dan pembaziran.
22. Semoga ini kali terakhir kami membentang sebagai "Belanjawaan Alternatif"dan sekaligus Budget terakhir Najib sebagai "Budget Kerajaan Persekutuan". InsyaAlLah, tidak ada pilihan buat Rakyat untuk "Merawat Derita Rakyat". Samada "PH menang atau UBN Kalah". Ya, buat PH dan Rakyat..Kekalahan Bukan Lagi Satu Pilihan!..BiiznilLah.
*DR DZULKEFLY AHMAD*
Pengarah Strategi Amanah,
Ahli JK Bajet PH 2018