nuffnang Ads

.

2017/10/18

PENINGKATAN PENDAPATAN ORANG MISKIN ADALAH MITOS

Acapkali apabila keadaan ekonomi merosot, Bank Negara, Jabatan Statistik Negara, kementerian-kementerian dan menteri-menteri akan mengeluarkan angka-angka yang cuba menyakinkan rakyat bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan sebaliknya. Mereka akan mengatakan bahawa rakyat tidak patut dipengaruhi oleh elemen-elemen yang kononnya anti-kerajaan dan tidak patut hilang keyakinan terhadap ekonomi kita.

Contohnya, Bank Negara baru-baru ini telah mengumumkan bahawa negara kita mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.8 peratus dalam suku pertama dan kedua tahun ini. Beberapa hari yang lepas, Jabatan Statistik pula menerbitkan Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016 yang menunjukkan peningkatan pendapatan isi rumah sebanyak 6.6 peratus, manakala kadar inflasi masih rendah iaitu 2.1 peratus.

Berdasarkan angka-angka tersebut, Datuk Seri Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga merangkap Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, menafikan bahawa pendapatan rakyat tidak meningkat selaras dengan kos sara hidup yang kian mendadak.

Namun begitu, dalam Laporan Statistik Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016, ada 2 isu berkaitan golongan B40, iaitu isi rumah yang berpendapatan purata bulanan di bawah RM3.860.00 yang perlu diketengahkan.

Pertama, peningkatan pendapatan isi rumah B40 berpunca daripada pemberian bawah BR1M, bukan daripada pertambahan gaji. Oleh itu, kenaikan pendapatan isi rumah tidak patut ditafsirkan sebagai penunjuk keadaan ekonomi yang baik.

Kedua, Indeks Harga Pengguna (IHP), yang digunakan untuk mengira kadar inflasi, menunjukkan bahawa 67 peratus daripada perbelanjaan golongan pendapatan rendah dan sederhana adalah dalam 3 bidang utama: (i) makanan dan minuman bukan beralkohol, (ii) pengangkutan dan (iii) perumahan, kemudahan dan minyak. Pada tahun-tahun yang lepas, ketiga-tiga bidang ini telah mencatatkan kadar inflasi yang lebih tinggi daripada purata kadar inflasi umum. Contohnya, kadar inflasi pada tahun 2016 ialah 2.1 peratus tetapi harga makanan dan minuman bukan beralkohol meningkat sebanya 4.2 peratus.

Keadaan lebih meruncing pada tahun ini. Kadar inflasi pada bulan Ogos adalah di tahap 3.8 peratus, di mana harga makanan meningkat 4.3 peratus dan harga pengangkutan naik 11.7 peratus.

Jika Datuk Seri sanggup turun padang pergi ke pasar pagi dan memberitahu suri rumah bahawa kehidupan rakyat semakin senang kerana kadar inflasi tahun lepas hanya 2.1 peratus, saya pasti Datuk Seri akan dimarahi. Ini kerana harga makanan sekurang-kurangnya 16 peratus lebih tinggi berbanding tempoh masa sebelum tahun 2014.

Rakyat tidak perlukan menteri-menteri untuk memberitahu rakyat sama ada ada duit di dalam kocek mereka. Rakyat sendiri lebih tahu. Saya tidak terkejut apabila rakyat tidak lagi teruja dengan pengumuman statistik oleh kerajaan pada zaman ini. Sudah sampai masanya untuk kerajaan berhenti memperbodohkan rakyat dan mengakui kelemahan urus tadbir ekonomi sendiri.

Hakikat bahawa 40 peratus daripada rakyat mesti bergantung kepada bantuan kerajaan melalui BR1M untuk menyara kos harian ialah amaran yang serius tentang keadaan ekonomi kita. Mengangkat bakul sendiri untuk menyembunyikan keadaan sebenar tidak akan menyelesaikan apa-apa.

Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew 陈仪乔博士
Bendahari Agung
Parti KEADILAN Rakyat
Pakatan Harapan
#BinaSemulaNegara