KUALA LUMPUR 1 Nov 2016 – Wang pelaburan syarikat Kementerian Kewangan SRC International tidak dapat dikeluarkan dari Bank BSI selepas bank Switzerland itu berdepan siasatan berkaitan 1MDB, kata Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani.
“Kebanyakan wangnya yang dilabur, mereka letak di Bank BSI.
“Oleh kerana Bank BSI sedang disiasat, saya diberitahu oleh pengurusan SRC bahawa wang itu berada di BSI Bank tetapi dibeku dan oleh itu mereka tidak dapat ambil balik.
“Tetapi saya tidak dapat beri kamu perincian lebih daripada itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap utama dalam Sidang Kemuncak Pasaran Modal Malaysia ke-21 di sebuah hotel di Kuala Lumpur lapor Malaysiakini.
Beliau mengulas soalan berkaitan rancangan SRC untuk membayar faedah tahunan kepada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
SRC meminjam RM4 bilion daripada tabung itu.
SRC membayar faedah tahunan RM164 juta kepada KWAP tetapi jumlah itu dianggarkan akan meningkat kepada RM660 juta tahun depan, untuk melangsaikan pinjaman pokok.
BSI setakat ini berdepan prosiding jenayah, antaranya susulan kegagalan mematuhi peraturan antipengubahan wang haram dalam menguruskan transaksi berkaitan 1MDB.
Ia disiasat oleh pihak berkuasa Singapura dan Switzerland.
Mei lalu, Singapura juga mengarahkan BSI di kota itu ditutup.