nuffnang Ads

.

2017/08/03

TUN M BAPA PERPECAHAN ORG MELAYU DAN NEGARA - KETUA UMNO SG.BESAR

Berikutan cercaan YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Ahmad Zahid Hamidi terhadap mantan Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir baru-baru ini, rakyat Malaysia rata-rata menolak polemik berpolitik yang dipersembahkan oleh UMNO ini.

Sedih sekali, cuma ahli-ahli UMNO yang merasakan cercaan dan hinaan yang dibuat oleh YB TPM itu sebagai suatu bentuk pendidikan bagi rakyat Malaysia akan betapa hinanya Tun di mata mereka. 

Di sini, yang paling menyakitkan hati adalah komen dan tindakan yang dibuat oleh Ketua UMNO Sungai Besar dan ketua kumpulan Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos semalam. Saya boleh terima laporan polis dibuat beliau atas tuduhan Tun bahawa YB TPM pernah meminta restu untuk menjatuhkan YAB PM. Ini sesuatu yang boleh memakan diri YB TPM di kemudian hari, mujur Jamal tak sedar.

Perkara yang membuat darah saya naik ialah apabila beliau menggelar Tun sebagai "celaka". Semata-mata kerana mata hati beliau sendiri buta, Jamal sanggup mencaci sebegitu sekali terhadap Tun.

Di sini, mari kita kupas logik Si Jamal.

Jamal kata YB TPM bukan menghina kaum atau bangsa lain. YB TPM cuma hendak mengenengahkan betapa "celaka"nya Tun kepada bangsa Melayu. Saya tak tahu pulak yang darah berketurunan India ini adalah celaka buat bangsa Melayu. Sejak bila ya?

Selanjutnya, Jamal kata Tun celaka kerana menggunakan orang Melayu sebagai batu loncatan. Yang saya nak tanya Jamal sekarang, batu loncatan hendak ke mana pula?

Tun dah lanjut usia.

Tun diangkat menjadi Perdana Menteri dulu pun atas dasar meritokrasi dan bukan "populariti".  Bukan macam pemimpin yang Jamal agung-agungkan. Kalau sebagai batu loncatan untuk anak-anak dan keluarga Tun, rasanya dari habis sekolah lagi Tun dah buat macam-macam. 

Tetapi jika kita teliti betul-betul, Tun tak pernah menolak mereka ke hadapan di dalam barisan politik, walaupun dengan sepatah dua kata sebagai tanda sokongan. Kalau ada, sila buktikan.

Lebih menjengkelkan lagi apabila Jamal kata Tun sebagai punca perpecahan orang-orang Melayu dan juga negara.  Sebenar-benarnyalah, sebelum Melayu boleh bangkit bersatu, Melayu harus sedar betapa bangsa Melayu semakin dipermainkan pemimpin-pemimpin dengan retorik-retorik yang mengarut seperti kesetiaan hanya kepada sesebuah parti atau pemimpin walau zalim macam mana sekalipun pemimpin tersebut. Bangsa Melayu diperkotak-katikkan dengan retorik keagamaan bahawa kononnya Islam itu mengangkat bangsa Melayu pada tahap lebih mulia dari bangsa lain. Paling sedih apabila bangsa Melayu disuap retorik bahawa berfikir dan bercanggahan pendapat adalah suatu perbuatan belot kepada bangsa. 

Jika kita benar-benar sayangkan bangsa Melayu kita akan mahukan bangsa Melayu yang cerdik dan pandai, yang mampu berfikir dan memimpin masyarakat sejagat ke arah kebenaran dan keadilan.  Tun salah seorang yang telah memulakan reformasi intelektual ini, sehinggakan ada yang kini mampu lantang bersuara menentang Tun. Andaikata reformasi budaya ini tidak dimulakan Tun dulu, Melayu masih bangsa yang terkebelakang dan suara-suara Melayu mungkin lenyap.

Jadi tak hairanlah jika sekarang lebih ramai Melayu yang sedar akan kezaliman di depan mata dan mula bersuara. Memang pada mulanya ini, ianya seakan perpecahan. Tetapi kebangkitan masyarakat sememangnya membawa persengketaan sehinggalah masyarakat mampu mencapai kata sepakat. Di sini saya berani berkata, sebenarnya Tun yang akan membawa bangsa Melayu kembali bersatu hati. Segala kesilapan lalu akan diletak ketepi, demi maruah bangsa. Ianya suatu yang Jamal dan kebanyakan di dalam UMNO tidak akan faham. Inilah legasi Tun yang sebenarnya. Nantikanlah.

Tariq Ismail
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Ketua Bahagian P149 Sri Gading
Parti Pribumi Bersatu Malaysia