nuffnang Ads

.

2018/01/06

Perkenan Agong akan jejas TALIAN HAYAT Najib, kata pakar perlembagaan


Sumber : The Malaysian Insight

Nabihah Hamid


Pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari tidak yakin Mahkamah Persekutuan akan membenarkan permohonan Pakatan Harapan kembalikan semula perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam meluluskan rang undang-undang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2018.

PAKAR perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari berkata beliau tidak yakin jika Mahkamah Persekutuan akan membenarkan permohonan Pakatan Harapan (PH) untuk mengembalikan semula perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam meluluskan rang undang-undang.

Katanya, ia tidak akan berlaku kerana pindaan itu akan menjejaskan undang-undang seperti Akta Majlis Keselamatan Negara yang disifatkannya sebagai “talian hayat” untuk menjamin kelangsungan politik Perdana Menteri Najib Razak.

"Dengan adanya barisan hakim sekarang saya tak yakinlah. Sebab semua (undang-undang) adalah merupakan talian hayat Najib. Jadi kalau (hakim) hendak lawan cakap Najib itu bolehlah. Tak mustahil, tapi hebatlah.

"Memang dari segi teknikal boleh. (Tetapi) sebab apa pindaan berlaku dalam tergesa-gesa? Soalnya beranikah Mahkamah Persekutuan?

"Ini kerana kalau berani, banyak akta ini boleh dikatakan sebagai talian hayat kepada Najib, boleh dimansuhkan ataupun terbatal. Beranikah?" soal Abdul Aziz lagi.

Tambahnya, PH bimbang jika kerajaan menyalahguna undang-undang seperti Akta MKN untuk menyekat gabungan parti itu daripada membentuk kerajaan sekiranya menang pilihan raya, katanya.

Jelasnya, kerajaan pimpinan Najib mungkin menguatkuasa undang-undang darurat untuk mengelak PH berkuasa.

Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan undang-undang seperti Akta Majlis Keselamatan Negara sebagai 'talian hayat' untuk menjamin kelangsungan politik Perdana Menteri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2018.

"Tindakan mahkamah ini penting untuk perjalanan Pakatan Harapan. Sebab (Akta MKN) dijangka akan digunakan Najib untuk menyebabkan kemenangan Pakatan Harapan satu yang sia-sia. 

"Dia (Najib) mungkin boleh panggil sesuatu dikata darurat sebagainya (jika Pakatan menang). Memang PH bimbanglah," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Permohonan untuk membatalkan peruntukan tersebut difailkan Isnin lalu oleh Anwar, yang merupakan timbalan perdana menteri ketika undang-undang tersebut dipinda pada tahun 1993.

Perdana menteri pada waktu itu, Dr Mahathir Mohamad pula kini merupakan pengerusi PH dan disebut-sebut sebagai calon perdana menteri sementara PH.

Menurut Abdul Aziz, Anwar terlibat secara langsung ketika peruntukan tersebut dipinda dan kini krisis undang-undang tersebut kembali membelit bekas timbalan perdana menteri itu.

"Bukan Tun M sahaja (terlibat), saya ingat Anwar sendiri yang bentang itu dulu. Jadi, itu dululah sebab sekarang ini benda (pindaan) itu dah mencekik dia (Anwar). 

"Maknanya memang begitu, berlaku di zaman Mahathir dan Anwar jadi timbalan perdana menteri. Anwar terlibat dalam membentang (pindaan) itu," katanya lagi. 

Beliau juga gembira kerana pendiriannya ke atas pindaan yang dikira tidak mengikut undang-undang itu kini ternyata benar.

Tambah Abdul Aziz, beliau sudah mengutarakan pandangan mengenai hal tersebut sejak 1994 lagi namun tidak diberikan perhatian. 

"Mahkamah boleh batalkan sebab ada hujah kerana saya sendiri mengatakan dulu waktu Mahathir (jadi PM) saya sudah kata tak sah (pindaan) ini. 

"Tahun 90-an saya kata begitu dan sekarang pun saya kata benda yang sama juga. Sekurang-kurangnya saya gembira bila ada orang setuju dengan hujah saya," sindir pemimpin DAP itu.

Dr Mahathir yang menyedari kesan daripada pindaan kontroversi tahun 1993 itu memohon maaf kerana ia menyebabkan undang-undang seperti Akta MKN diluluskan secara automatik.

Sementara itu, peguam Anwar, N.Surendran yang memfailkan pembatalan pindaan tersebut berkata Anwar dan Dr Mahathir tidak boleh dipersalahkan kerana keputusan kerajaan untuk menjalankan pindaan pada waktu itu dibuat secara kolektif.

Pada 2 Januari, ketua Umum Pakatan Harapan Anwar Ibrahim memfailkan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan Putrajaya bagi membatalkan tiga akta yang diluluskan tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2018.

"Anwar failkan permohonan itu memulihkan kembali keadaan," katanya kepada The Malaysian Insight. 

"(Keputusan pindaan) dibuat secara kolektif, bukan oleh mana-mana individu. Jangan lupa, Najib juga adalah sebahagian daripada kabinet,” katanya lagi, merujuk kepada jawatan Najib sebagai menteri pertahanan.

Jelasnya, sekiranya  permohonan ini berjaya maka kuasa mandatori Yang di-Pertuan Agong untuk memberi perkenan akan dikembalikan.

Pindaan ke atas Fasal 66 (4) Perlembagaan Persekutuan itu menyebabkan sesuatu rang undang-undang diluluskan secara automatik walaupun Yang di-Pertuan Agong tidak memberi perkenan dalam tempoh 30 hari.

Usaha PH untuk membatalkan akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) menemui kegagalan apabila Mahkamah Rayuan menolak permohonan yang difailkan Anwar pada November tahun lalu.

Selasa lalu, PH membuat permohonan baharuuntuk membatalkan peruntukan dalam tiga akta yang menyebabkan kuasa Agong dinafikan sejak 1993 selepas pindaan Perkara 66 (4) Perlembagaan Persekutuan. – 5 Januari, 2018.