nuffnang Ads

.

2017/05/24

TUN MAHATHIR PELIK DENGAN SPRM, JADI AHLI POLITIK BOLEH RASUAH SEBELUM PRU?

BISMILAHHIRAHMANNIRRAHIM,,

👉   Tun Dr Mahathir hairan dengan kenyataan SPRM bahawa mereka mengelak menyasarkan ahli politik buat masa ini dan perlu menunggu selesai PRU.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak akan bertindak ke atas ahli politik rasuah buat masa ini kerana bimbang operasi mereka digunakan sebagai bahan pilihan raya.

“Jadi ahli politik kalau curi duit tidak mengapa? Cuma orang lain sahaja (dikenakan tindakan) sebab mereka tidak sertai pilihan raya?” soal pengerusi PPBM itu dalam wawancara bersama portal Free Malaysia Today di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

“Ketua setiausaha dan yang lain tidak boleh mencurilah, ahli politik pula dibolehkan…tetapi mengapa ambil tindakan kepada ahli politik di Johor, tetapi ahli politik di tengah-tengah Kuala Lumpur tiada tindakan,” soalnya, dipercayai merujuk kepada tangkapan dan pendakwaan seorang exco Johor berhubung kes urusan tanah baru-baru ini.

“Kalau itu bukan pilih kasih, saya tidak faham apa makna pilih kasih,” kata bekas perdana menteri itu lagi.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad dilaporkan berkata suruhanjaya itu memutuskan untuk tidak bertindak terhadap ahli politik sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 kerana ia mungkin digunakan sebagai bahan kempen, susulan siri tangkapan terhadap penjawat awam kebelakangan ini.

Namun Dzulkifli mengingatkan agar setiap parti memastikan calon mereka “benar-benar bersih” daripada rasuah dan salah guna kuasa.

“Sekiranya tidak dipastikan, maka jangan salahkan SPRM apabila kami datang membuat kunjungan hormat dan mengetuk pintu-pintu anda selepas pilihan raya kelak,” katanya.

“Saya tidak akan membuat kenyataan yang bersifat kosong dan populis…saya hanya mempunyai satu perkataan sahaja: tunggu,” kata Dzulkifli dalam wawancana Mingguan Malaysia pada Ahad.

Dr Mahathir bagaimanapun kecewa kerana merasakan gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam semakin meningkat, walaupun badan itu “direformasikan” menjadi suruhanjaya dengan kuasa yang lebih kuat.

“Jumlah kecurian wang kerajaan sekarang meningkat kepada jutaan ringgit. Pegawai kerajaan curi, wakil rakyat pun curi,” katanya.

Dr Mahathir berkata walaupun ada yang ditangkap dengan wang tunai jutaan ringgit, termasuk seorang yang menyebabkan anggota anti-rasuah mengambil masa “18 hari hanya untuk mengira wang tunai”, akhirnya diumumkan “tiada kes”.

“Sepatutnya segala laporan yang dibuat kepada SPRM dari Bank Negara, dari ketua audit negara…semua ini perlu didedah dan dibawa ke mahkamah untuk menilai apa benar atau tidak pencurian telah berlaku.”

Meskipun SPRM, yang ditubuhkan semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, menggiatkan kempen anti-rasuah, Dr Mahathir berkata suruhanjaya itu bagaimanapun “berdiam diri” terhadap dakwaan salah laku melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau merujuk kepada siasatan ke atas dakwaan presiden Umno itu menerima RM2.6 bilion daripada entiti yang terkait dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib sebelum ini berkata wang itu adalah derma keluarga diraja Arab Saudi.

Tahun lepas, ditengah-tengah siasatan membabitkan SPRM dan agensi kerajaan lain, Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan jenayah, memutuskan wang itu bukan rasuah.